Monday, June 30, 2008

Kontrak sosial <--> Sistem Pendidikan

1. Baru-baru ini YAB PM telah menegaskan yang jangan dipersoalkan lagi kontrak sosial.

2. Ia bertujuan mengelakkan ketegangan antara kaum terutamanya isu ketuanan Melayu dan hak asasi Bumiputra dipersoalkan.

3. Ramai lagi yang masih tidah faham tentang kontrak sosial yang telah dibuat pra-merdeka.

4. Yang tidak faham akan terus dibutakan oleh perasaan 'ketidak-adilan' dan akan memupuk sifat Chauvinism dan akan terus membenci sesuatu kaum. Ini sangat logik kerana pengetahuan yang diberi kepada mereka tentang kontrak sosial sangat kecil.

5. Kontrak sosial Malaysia hanya dibicarakan di dalam buku-buku sejarah PMR atau SPM dengan hanya satu perenggan sahaja ditonjolkan. Guru-guru pula gagal memperjelaskan konsep sebenar kontrak sosial di Malaysia dan mengapa ia masih perlu kini.

6. Kontrak sosial bebas diperjelaskan dalam program mahasiswa pra-pelepasan ke luar negara atau program PTD anjuran Biro Tata Negera. Itupun masih lagi ada polarisasi antara kaum dalam membuat kumpulan dalam jagaan fasilitator jemputan.

7. Dalam keadaan genting Barisan Nasional cuba memperjelaskan perlembagaan negara terutama kontrak sosial padahal ia boleh dilakukan secara efektif melalui sekolah-sekolah. Ahli -ahli politik itu menyatakannya di dalam ceramah-ceramah dan kini juga di blog-blog. Ini termasuk perbincangan secara terbuka tentang DEB dan kini digalakkan debat bebas antara mahasiswa asalkan fakta sahaja digunakan. Bukan penipuan.

8. Soalnya sekarang bolehkah sesetengah rakyat yang berfikiran Chauvinism kini menerima penjelasan pemimpin tentang kontrak sosial?

9. Melentur buluh biar dari rebung.

10. Kerajaan masih menganggap rakyat tidak akan faham tentang isu negara. Padahal merekalah yang perlu bersungguh menjelaskan segala tindak-tanduk dan polisi mereka.

11. Sekali lagi ia boleh diterapkan dalam matapelajaran Malaysia. Tambahan pula, dalam keadaan polarisasi sekolah juga tidak membantu.

12. Kini bilangan sekolah-sekolah jenis kebangsaan makin bertambah dengan alasan politik memenangi hati kaum bukan bumiputra. Namun, kerajaan masih gagal memenangi hati mereka dengan 'kekalahan' teruk Pilihanraya Umum 2008.

13. Kontrak sosial sering dipersoalkan namun kewujudan sekolah-sekolah anti-perpaduan seperti Sekolah Cina dan Tamil tidak pula disentuh langsung oleh rakyat. Padahal bagi saya sistem pendidikan kini lah yang bertanggungjawab ke atas polarisasi kaum dan kepincangan toleransi antara kaum. Konsep National School atau 'satu sekolah untuk semua' tidak pernah diutarakan walaupun daripada parti pembangkang Pakatan Rakyat.

14. For the sake of unity, why can't we have one National School where Third Language subjects can also be taught?

15. Bahasa Melayu kini dikenali sebagai Bahasa Malaysia. Ini dipersetujui sebagai Bahasa rakyat Malaysia kesemuanya sejak Merdeka.

16. Amat menyedihkan apabila penguasaan Bahasa ibunda ini di tahap minima bagi pelajar-pelajar yang mengikuti Sekolah Jenis Kebangsaan.

17. Matapelajaran Sains dan Matematik pula mahu dikembalikan kepada Bahasa Malaysia padahal ia amat penting dari segi kompetitif. Sekolah Jenis Kebangsaan pula mahu ia di dalam bahasa masing-masing.

18. Wujudnya Sekolah-sekolah Menengah Jenis Kebangsaan membantutkan lagi persemukaan anak-anak Malaysia berbilang kaum. Wujud pula kemudiannya universiti-universiti yang berteraskan satu kaum yang lagi-lagi menggagalkan interaksi dan toleransi sejagat.

19. Sepatutnya juga sesetengah sekolah dan universiti yang berteraskan satu kaum dibuka untuk semua secara berperingkat-peringkat. Kini MRSM telah dibuka untuk kaum bukan Bumiputra.

20. Dalam keadaan satu kaum satu sekolah begini, konsep kontrak sosial bolehkah dibincangkan secara telus dan harmoni di dada-dada akhbar dan blog?

No comments: