Surat kepada Najib Razak
selepas PRU 13 – Bagaimana untuk Selamatkan Malaysia?
Surat ini telah dihantar
kepada Perdana Menteri Najib Razak melalui emailnya info@1malaysia.com.my sejurus selepas
Pilihanraya Umum ke 13. Saya yakin dia tidak membacanya kerana lihatlah apa
yang berlaku di Malaysia sekarang. Surat asal ditulis dalam Bahasa Inggeris
tetapi penulis tertarik untuk menulisnya kembali dalam Bahasa Malaysia.
Kehadapan Perdana Menteri
Malaysia yang dicintai,
Tahniah kerana memenangi
pilihanraya yang ke 13 yang ternyata sengit. Saya tak menyangka yang anda
terperanjat dengan keputusan tersebut tetapi bagi saya, ia telah pun dijangkakan.
Barisan Nasional bertarung dengan persepsi di mana mereka akan kalah kali ini
atas sebab kekalahan banyak kerusi ketika Pilihanraya Umum ke 12 pada tahun
2008. Kononnya beberapa pihak di bandar mahukan sistem dua parti dalam politik
Malaysia tetapi jelas ia menunjukkan keputusan pilihanraya dua bangsa.
Sebagaimana yang anda sebutkan, “Tsunami Bangsa Cina” telah melanda Malaysia.
Sebagai rakyat Malaysia, ini sangatlah merungsingkan bagi saya.
Jelas program 1Malaysia yang anda
pelopori telah gagal. Saya telah dengar banyak kali Bukan Bumiputera meletakkan
“1Malaysia” sebagai suatu omong-omong kosong. Realitinya, bangsa Cina Malaysia
telah lama rasa terpinggir kerana polisi negara yang kononnya memihak kepada golongan
Bumiputera. Walaubagaimanapun, saya tetap lihat ekonomi Malaysia dipegang oleh
bangsa Cina.
Usaha keras anda untuk memenangi
hati masyarakat Cina telah dibalas dengan undi kepada Pakatan Rakyat. Usaha itu sebenarnya suatu yang boleh dipuji
tetapi realitinya, sentimen perkauman masih menang! Strategi teratur dan
bersembunyi di sebalik slogan “memerangi rasuah, kronisme dan nepotisme”,
mereka telah melancarkan serangan saraf dengan memburukkan institusi Bumiputera
seperti UiTM, MARA, syarikat-syarikat kerajaan, RELA, UMNO, PERKASA adalah
sangat jelas ditunjukkan khususnya daripada DAP. Ini sebenarnya adalah serangan
hendap terhadap polisi-polisi kerajaan membantu golongan Bumiputera yang
rata-ratanya masih mundur. Tambahan pula, bumiputera kini yang berpecah-belah
memudahkan lagi masyarakat bukan Bumiputra untuk meraih kemenangan dalam PRU13.
“Ini kalilah!” kata mereka. Apabila bumiputera dan Melayu khusunya berpecah
dua, mereka sangka boleh menggulingkan kerajaan Barisan Nasional.
Hakikatnya, anda kini mengalami
keadaan yang sama ketika ayahanda Tun Razak mengambil alih tugas Perdana
Menteri pada tahun 1970 setelah berlakunya peperangan saudara pada 13 Mei 1969.
DAP dan GERAKAN yang majoritinya diikuti bangsa Cina telah melakukan kesilapan
besar dengan meraikan kemenangan banyak kerusi pada pilihanraya tahun itu di
jalanan termasuk di Kampung Baru. Menjadikan Syed Hussein Al-Attas, seorang
Melayu liberal sebagai kuda hitam, Gerakan dan DAP telah memenangi banyak
kerusi di kawasan-kawasan yang majoritinya Cina. Peperangan 13 Mei akan
sentiasa menghantui negara Malaysia. DAP yang memenangi kesemua kerusi kawasan
dimana 30% atau lebih adalah masyarakat Cina (kecuali Labis) kini bijak dengan
tidak melakukan kesilapan mereka pada tahun 1969. Pakatan Rakyat akan
mengeluarkan statistik yang Barisan Nasional kalah undi masyarakat bandar di
mana pakar statistik ini haruslah orang Melayu. Hakikatnya, masyarakat Cina memanglah
pengundi di bandar! Bijak? Bagi saya yang hanya berumur 30 tahun ini adalah
sangat dijangkakan.
Jadi, apakah jalan
penyelesaiannya untuk mencapai kesatuan nasional? Saya pelik bila ada orang
cakap Malaysia dah jadi negara “Dua Malaysia” (Bumiputera, bukan Bumiputera). Perkara
ini telah lama berlaku sejak zaman berzaman. Ia menjadi lebih teruk lagi
apabila Barisan Nasional tetap memberi sokongan dan wang untuk membina lebih
banyak lagi sekolah jenis kebangsaan Cina untuk meraih cinta masyarakat Cina.
Ini sebenarnya adalah kesalahan yang sangat teruk. Malaysia Cuma memerlukan
satu sekolah kebangsaan. Saya tahu mereka mempunyai hak untuk belajar di
Sekolah Cina di peringkat rendah, tetapi sekolah menengah jenis kebangsaan Cina
juga telah diberi bantuan berpuluh juta. Sampai bila rakyat akan
dipecah-belahkan mengikut kaum melalui sistem persekolahan?
Anda sebenarnya mempunyai pilihan
untuk menyelamatkan Malaysia, termasuklah kerjaya politik anda. Pintu jalan
yang pertama, yang berwarna hijau, adalah dengan menjemput PAS berjuang bersama
Barisan Nasional, memberikan mereka jawatan Timbalan Perdana Menteri II,
melantik mereka mengepalai tugas-tugas ketelusan dan pencegahan rasuah, memberi
ruang yang besar kepada para ulama dalam hal agama Islam (bukan setakat
terpekik terlolong soal hudud) dan lain-lain. Ya, mereka telah kalah banyak
kerusi berbanding 2008 (kerana orang Islam berpecah-belah) tetapi anda tidak
boleh memandang rendah kekuatan jentera di peringkat bawah mereka. Nik Aziz
telah pun bersara di arena politik kerana uzur. Ini sepatutnya memberikan anda
peluang yang baik untuk berbincang dengan Presiden PAS Hadi Awang supaya orang
Islam di Malaysia dapat bersatu akhirnya. “Bersatu teguh, bercerai roboh”. Ini
tak bermaksud kita mesti hokum masyarakat Cina kerana menolak Barisan Nasional
termasuk Ghani Othman dan Ali Rustam (yang terkenal dengan memberi bantuan tak
terhingga kepada masyarakat Cina). Apabila kita sebagai orang Islam yang
bersatu dan memberi contoh tauladan yang baik, masyarakat Cina akan mengakui
yang tiada harapan lagi untuk memenangi Piliharaya Umum dengan sokongan mereka
seorang sahaja. Tiada lagi “Ini Kali Lah” kerana orang Islam dan Bumiputera
telah bersatu. Masyarakat Cina hakikatnya memegang ekonomi negara sebanyak hampir
75%. Mereka juga tahu pegangan ekonomi mereka akan terjejas jika arena politik
tanahair tidak stabil. Asalkan Malaysia terus berkembang maju, walaupun tahu
politik milik Sang majority (Bumiputera), saya yakin Malaysia akan selamat di
bawah pemerintahan Barisan Nasional-PAS.
Atau, anda boleh ambil pintu jalan yang kedua,
iaitu yang berwarna merah, dengan mengajak DAP untuk memasuki Barisan Nasional
supaya ada wakil daripada pihak Bukan Bumiputera. Kalau nak cuba bolehlah
tetapi saya tak yakin ini boleh menjadi kenyataan. Jika berlaku pun, ini bukan
yang pertama kali di mana Gerakan telah menyertai Parti Perikatan. Lihatlah apa
yang berlaku kepada Gerakan kini. Hidup segan mati tak mahu. Dengan DAP bersama
Barisan Nasional, anda boleh terus memecah-belahkan negara dengan memberi segala
bantuan kepada sekolah jenis kebangsaan Cina melalui Dong Zhong (dan tetap
dikhianati kemudiannya). Anda juga boleh terus memberi makan malam besar-besaran
secara percuma dan juga menerbangkan penyanyi K-Pop dari Korea bagi meraih “sahutan”
dan sokongan padu rakyat Tiong Hwa. “Are you ready for Psy??? Yes! Are you
ready for BN??? NOOOOOOOO!!!” Begitulah keadaan sebenarnya anda berilah
segala-galanya kepada mereka dan mereka tetap akan sokong Pakatan Rakyat kerana
sentimen perkauman yang telah terbuku di hati mereka yang diterapkan secara
halus oleh Pakatan Rakyat khususnya DAP. Anda juga telah diherdik dan dimaki
apabila berada di pentas dengan perkataan “boo”. Boo panjang, boo pendek
segalanya pun ada. Cukup lengkap dan padat sokongan mereka terhadap anda.
Jadi bagaimana sebenarnya untuk
menyelamatkan Malaysia?
Politik - Anda ambil jalan yang
berwarna hijau di atas. Betul, masyarakat Cina akan naik angin dan ini ditambah
pula dengan kegagalan untuk memenangi pilihanraya yang 13 ini. Mereka telah
ditipu oleh DAP yang mereka boleh memenangi pilihanraya di peringkat
persekutuan dan akhirnya dapat melupuskan polisi-polisi kerajaan yang kononnya
menyebelahi Bumiputera Malaysia. Anda sebenarnya terlupa yang undi Bumiputra dan
umat Islam lah yang anda patut jaga. Ada
di antara kami yang telah pun terkilan dengan tindak-tanduk anda yang nampak
sangat jelasnya melebihkan masyarakat Cina. Jika anda pilih jalan merah, sekelompok
besar masyarakat Bumiputera akan terus-menerus menyokong Datuk Seri Anwar
Ibrahim. Ya, mungkin kini Anwar tampak yang dia sangat liberal dan disokong
Cina kerana dikatakan harapan baru untuk mempupuskan agenda Bumiputera. Tetapi
bukanlah anda sendiri tahu yang Anwar ini bagaikan sesumpah, melalukan apa
sahaja untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Bukankah dia mengepalai ABIM
menentang UMNO dan membawa perwatakan yang warak, sejajar dengan revolusi Islam
di Iran pada ketika itu? Dan kini sangat liberal pula. Perkataan “Allah” boleh
dipermainkan begitu sahaja di gereja-gereja. Jika jalan merah diambil, Anwar
boleh jadi kembali “alim” dan membawa majority Rakyat Malaysia yang khususnya
orang Islam dan Bumiputera Malaysia. Dengan jalan hijau, anda boleh berbincang
dengan wakil MCA dan Gerakan yang beberapa polisi sedia ada yang sebenarnya
tidak menguntungkan Bumiputera miskin pun - ditarik! Contohnya, diskaun
Bumiputera untuk rumah baru yang berharga RM 800,000 ke atas boleh lah
dilupuskan. Hal ini jelasnya cuma menguntungkan Bumiputera yang kaya raya
padahal polisi yang baik sebenarnya adalah membantu kesemua rakyat yang miskin
yang rata-ratanya kini orang Bumiputera. Seterusnya, walaupun sekarang ini
kuota Bumiputera masih ada, para pemaju disarankan tidak perlu menyuarakan
secara jelas yang adanya kuota ini. Pemaju sebenarnya boleh memberitahu bilangan
unit sebenar yang dibuka kepada rakyat Malaysia, tidak mengira kaum di dalam
suatu cabutan “new launch balloting”. Katakanlah 30% diberikan kepada
Bumiputera, sepatutnya bukalah 70% sahaja. Jika bumiputera itu mendapat cabutan,
orang awam akan dapat peluang lagi asalkan minimum 30% dapat dicapai oleh
Bumiputera. Saya ada di sana ketika cabutan untuk memiliki sebuah rumah di
Bandar Rimbayu dijalankan. Saya telah dimaki di dalam bahasa Hokkien dan
Mandarin kerana pemaju itu telah mengisytiharkan unit rumah telah habis dibeli
dan lain-lainnya adalah untuk Bumiputera. Mereka di sekeliling saya yang 95%
nya masyarakat Cina telah menarik muka benci terhadap kami tujuh orang Melayu
di situ. Yang hadir beribu-ribu. Anda
tidak akan faham perasaan kami sebagai rakyat biasa kerana anda tidak akan
mengalaminya sendiri. Masyarakat Cina di sekeliling anda tidak akan tunjuk rasa
benci terhadap anda sebab bukankah anda ini Perdana Menteri? Maaf jika saya
terus-menerus memberi komen berkenaan polisi hartanah kerana saya terlibat
dalam pelaburan secara kecil-kecilan dalam sektor ini.
Jika PAS bersetuju untuk
memajukan negara dan menaikkan martabat Islam di Malaysia bersama-sama Barisan
Nasional, mereka tidak perlu pun menjadi “naungan” UMNO atau Barisan Nasional.
PAS boleh membantu Barisan Nasional dengan bentuk suatu kerajaan campuran. Jika
niat kita baik, PAS sendiri akan menyertai Barisan Nasional dengan hati terbuka
tetapi biarlah mereka memberi pendapat mereka sendiri, secara bebas dan merdeka.
PAS bukanlah suatu parti yang teruk pun mungkin ada di antara mereka, khususnya
yang berumur masih tidak dapat memaafkan UMNO yang kononnya mengkhianati mereka
tidak lama dahulu. Buktikan yang BN kini berbeza. Niat sebenar hanyalah untuk memajukan
negara sejajar dengan menaikkan syiar Islam. Buktikan kepada yang bukan Islam
yang Islam itu agama yang baik dan untuk semua. Jika Anwar ingin melawan
BN-PAS, biarkan! Lambat laun rakyat termasuk yang bukan Islam akan sedar apa
sebenarnya Islam itu dan mereka akan meninggalkan politik cauvinis dan
perkauman DAP dan sama-sama bekerja demi mencapai status negara yang membangun
dan maju. Saya beri contoh mudah sahaja, mengikut statistik, makin hari makin
banyak masyarakat cerdik pintar Cina memilih untuk mendapatkan perkhidmatan
kewangan Islam dalam bentuk Takaful mahupun pinjaman perumahan “Musyarakah
Mutanaqisah” kerana kedua-duanya lebih adil daripada konvensional. Masyarakat
Cina khususnya yang muda-muda, tidak pernah bertemu rakan-rakan selain Cina
akhirnya akan sedar yang mereka tidak boleh menang jika terus dengan cara rasis
dan cauvinis DAP.
Pendidikan – ini harus dilakukan
secara berperingkat-peringkat. Sudah-sudahlah tu memerintah Malaysia dengan
memecah-belahkan rakyat! Memecah-belahkan dari peringkat kecil pula tu. Saya
berumur 11 tahun ketika apabila saya mengikuti Sekolah Rendah Kebangsaan St.
Francis Institution (SFI), Melaka. Kami cuma bertiga orang Melayu di dalam
kelas pertama Darjah 5 Merah! Sekolah ini bukanlah sekolah jenis kebangsaan
tetapi kualiti pemelajaran adalah sangat baik. Saya fikir sebab itulah
masyarakat Cina bersama SFI. Sekolah Cina ketika itu kami herdik dan ejek. “Kami”
di sini termasuk rakan-rakan Cina saya satu sekolah. Di sini kami tanamkan
sifat hormat-menghormati. Tidak pernah saya dibuli kerana warna kulit saya atau
kerana saya ini golongan minoriti Bumiputera yang dibenci. Walaupun saya pernah
terdengar seorang Cina menyebut “saya tidak akan kahwin dengan perempuan Melayu
walaupun dia cantik kerana saya taknak dipaksa masuk Islam”, kes ini sangat
terpencil dan beliau yang menyebut begini kini telah jadi seorang yang sangat
anti-Bumiputera-Islam. Yang lain-lain kini biasa-biasa sahaja, tidaklah begitu
melampau sepertinya. Saya tidak lupa episod kehidupan saya di SFI. Banyak
perkara yang saya pelajari tentang toleransi kaum. Saya mengajar mereka Bahasa
Malaysia walaupun tidak perlu pun kerana yang Baba Nyonya boleh jadi lebih
pandai Bahasa daripada saya! Mereka pula akan mengajar saya Bahasa Inggeris di
mana ketika itu saya tersangatlah hampas (hampeh). Saya percaya ketika itu, orang Cina sayang Tun Mahathir
Mohamad, Perdana Menteri pada ketika itu. Ingat tak, Tun M dan Barisan Nasional
telah diselamatkan oleh masyarakat Cina padahal ketika itu Orang Melayu ramai
menyokong Anwar Ibrahim. Orang Cina menjadi celik yang mereka memerlukan
kestabilan politik dan kemajuan negara. Jadi, apa yang berlaku kepada orang
Cina sekarang? Ini bukanlah suatu kebetulan yang sejak BN menghabiskan berates-ratus
juta ringgit untuk membina Sekolah Cina, makin ramai lagi orang Cina menolak
BN.
Gejala jijik rasuah – untuk meyakinkan
rakyat, jika PAS bersetuju menyertai kerajaan campuran dengan BN, merekalah
yang sepatutnya mengepalai inisiatif membanteras rasuah ini. Rasuah ternyata
haram dalam Islam. Sesiapa yang mengamalkan rasuah di dalam Barisan Nasional haruslah
berhenti melakukannya dan bertaubat. Berapa juta lagi yang mereka nak? Tidak
cukupkah anak isteri sihat bahagia dan berjaya? Saya tidak akan sebut nama-nama
yang saya tahu jelas korup tetapi sudah-sudahlah memperagakan harta rakyat
kepada umum seolah-olah ayahanda mereka yang punya! Hidup berserdahana. Jadilah
contoh yang baik kepada rakyat. Hidup di dunia ini hanyalah sementara, tak
boleh bawak masuk kubur pun kemewahan dunia ini. Tetapi nama anda boleh ditempa
sebagai Perdana Menteri yang terulung kepada Rakyat Malaysia. Tidak perlu
tunggu isteri anda memuji-muji memanggil anda “Pemimpin Anugerah Tuhan”. Rakyat
sendiri akan nampak kehebatan anda sebagai pemimpin yang adil dan baik kepada
negara. Di negara-negara Islam Timur Tengah ini hampir kesemuanya kenal
Mahathir Mohammad sebagai Perdana Menteri Malaysia. Mereka tidak kenal Abdullah
Badawi malah Najib Razak pun jauh sekali. Tun Dr. M sendiri tidak dapat memajukan
masyarakat Bumiputera dan ini diperakui olehnya sendiri. Jadi, anda sebenarnya
mempunyai peluang besar untuk menyaingi kehebatan Tun Dr. M sebagai pemimpin
yang terbilang (bukan gemilang temberang seperti sebelum ini). Dengan
berakhirnya rasuah, Pembangkang tidak aka nada lagi modal untuk memburukkan
Barisan. Malah, tidak ada lagi asebab untuk menolak Barisan jika segalanya teratur,
adil dan berjaya. Tiadanya rasuah, rakyat tidak akan mencari-cari masalah lagi
dalam Kerajaan Malaysia. Laporan audit negara tidak ada lagi harga-harga yang
tinggi melambung sebagai contohnya tukul besi berharga RM100. Isu-isu barangan
Malaysia tidak berkualiti tidak akan ada lagi kerana Rakyat kembali mencintai
negara yang dipimpin oleh seorang yang disegani. Rakyat akan menjadi bangga
sebagai rakyat Malaysia. Hancur rasuah, hebatlah Malaysia.
Memerangi jenayah – mungkin pihak
Kementerian Dalam Negeri ada mengeluarkan statistik yang masalah jenayah telah kurang.
Hakikatnya, gejala social dan jenayah telah membengkak di Malaysia. Rakyat
tidak lagi berasa selamat di mana kes tembak-menembak pula menjadi perkara
biasa. Saya kini menetap di Saudi Arabia dan saya berasa selamat di sini. Undang-undang
Syariah dilaksanakan di sini termasuklah hukuman hudud. Disebabkan saya telah
menganjurkan anda mengajak PAS bersama-sama mengetuai negara, saya juga tidak
rasa mereka akan bersungguh-sungguh melaksanakan hudud. Hudud hanyalah
permainan retorik PAS bagi memenangi hati orang Islam. Tahukah anda soal hudud
tidak ada dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat. PAS bersama Barisan akan meyakinkan
perkataan “hudud” ini tidak digunakan tetapi dilaksanakan dengan memastikan
hukuman jenayah menjadi lebih berat. 10 tahun penjara adalah hukuman manusia
bagi kesalahan merogol. Ini tidak adil dan seolah-olah memberi peluang manusia
merogol dan terus hidup di penjara di mana makan dan minum dibayar oleh Rakyat!
Allah tidak pernah kata kita wajib melabelkan hukuman jenayah dengan perkataan “Hudud”.
Boleh saja melalui sistem yang dibaik-pulih dengan elemen syariah, hukuman
jenayah boleh lagi ditingkatkan kepada yang lebih berat. Ada yang bebas
melalukan zina dengan budak bawah umur (statutory rape) dan melalui sistem
pengadilan kini, lelaki itu boleh pula dibebaskan! Jika hukuman itu berat,
tidak ada lagi yang berani untuk melakukan jenayah. Hukum Allah sebenarnya
untuk mengelakkan manusia berbuat jahat. Bukan untuk menghukum sebenarnya. (“Prevention”
as opposed to “Punishment”)
Akhir sekali, melawan tohmahan
dan fitnah di alam siber – isteri anda pun tidak terkecuali dalam hal ini.
Malah, rakyat semakin berani mengejek isteri anda di khayalak ramai. Barisan
sebenarnya perlu ada suatu portal yang cepat menjawab fitnah-fitnah di laman
web, laman sosial, video serta media alternatif. Lupakan cara melalui akhbar dan
media sedia ada termasuk Utusan dan TV3 yang mana jelas sangat bersama Barisan
Nasional walaupun pura-pura adil. Lebih baik adakah suatu portal interaktif
yang dari awal lagi mengaku menyebelahi Barisan secara terang-terangan. Segala
jawapan haruslah berdasarkan kebenaran dan hanyalah kebenaran. Bukanlah jawapan
politik ala Pakatan. Fakta, bukan auta, perlulah dipastikan sebelum dikemukakan
kepada umum. Polis Diraja Malaysia boleh membantu dalam hal ini bagi menegakkan
kebenaran, bukan disalah-gunakan. Sebagai contoh, pihak Pembangkang telah
menuduh kerajaan membawa berpuluh-ribu warga Bangladesh untuk mengundi BN.
Perkara ini telah dimainkan di corong-corong media alternatif sampai ada yang
percaya. (termasuklah fitnah cincin RM24 juta isteri anda). Sehinggakan Malaysia
ini dihina sebagai Banglasia oleh Anwar dan pengikutnya. Macam lah Anwar tak
boleh gunakan China Dolls untuk meraih undi Cina jika dia memerintah. (Jangan
nak memandai bawak masuk pelacur Cina dan suruh mereka undi BN pula!). Pemimpin
Barisan haruslah berubah mengikut peredaran zaman, mengikut rentak masakini.
Cara lama dah tidak boleh pakai dah. Kata nak suruh rakyat celik IT dalam dunia
siber ini. Tak perlu pun bayar bloggers pro-UMNO yang mengharapkan balasan duit
juta-juta. Dapatkan suatu pasukan cukup menyatakan perkara yang benar. Bukan
fitnah dan tohmahan!
Saya berharap anda dapat membaca
surat spontan saya ini dengan hati yang terbuka tentang perkara-perakara
penting untuk menjadikan Malaysia negara yang lebih baik. Tak seberapanya pun
pendapat saya ini tetapi inilah yang telah terbuku di dalam hati ini. Secara
ringkasnya:
1. Kesatuan Rakyat bermula dengan Kesatuan Umat Muhammad
2. 1Sekolah untuk 1Malaysia yang sebenarnya
3. Memerangai rasuah seolah-olah bertarung demi nyawa sendiri
4. Membanteras jenayah dengan mewartakan hukuman yang lebih berat
5. Menjawab tohmahan melalui laman sosial yang berdedikasi
No comments:
Post a Comment