Friday, July 06, 2007

Pendidikan: Kunci integrasi kaum

Lupakan Sekolah Wawasan. Apa yang kita perlu ada ialah sekolah satu aliran. Satu sekolah yang diikuti pelajar-pelajar berbilang kaum. Satu sekolah yang tidak berdasarkan kaum.

Maka tiada lagi 'Sekolah Jenis Kebangsaan'. Mungkin ini sangat mudah jika diperkatakan sahaja. Namun secara praktikal, ia mungkin melibatkan perasaan dan jatidiri sesuatu kaum.

Jika diamati, sekolah-sekolah di United Kingdom ini semuanya bercakap dengan satu bahasa. Bahasa Inggeris menjadi bahasa perantara. Ia merupakan medium yang paling mudah diterima oleh pelajar-pelajar yang berbilang kaum seperti India, Arab, Pakistan, Inggeris, Afrika, Cina dan lain-lain. Malah, ia merupakan alat yang sangat efektif dalam integrasi kaum.

Kunci kepada integrasi kaum adalah pendidikan. Tidak perlu saya bahaskan di sini lagi kerana ia adalah sangat jelas di mana kanak-kanak senang bergaul berbilang bangsa sejak di bangku sekolah. Mereka akan belajar bersama, bermain bersama dan meyelesaikan masalah bersama.

Jika tidak silap saya, sepertimana yang diberitahu oleh seorang rakan, Sekolah Wawasan adalah suatu ide di mana 3 sekolah berbeza kaum di satukan di satu kawasan. Tiga bangunan tetapi satu laman. Perkara yang diutarakan ini amat mengelirukan dan geli hati jika saya bayangkan jika ia dijadikan realiti. Risau jugak jika ketiga-tiga sekolah ini menjadi seteru pula!

Mungkin masyarakat Cina kurang berminat untuk mempersetujui konsep satu sekolah senegara sepertimana yang dilaporkan di dada-dada akhbar yang dicetak mereka. Saya yang berbangsa Melayu ini pula tidak dapat merasa sendiri apa sebenarnya yang menjadi batu penghalang kepada mereka untuk mengikuti sekolah satu aliran yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perantara ini. Namun bagi saya kita mahukan yang terbaik untuk negara kita dan integrasi kaum adalah agenda yang utama. Saya sendiri lebih berminat menghantar anak-anak saya ke sekolah yang berbilang bangsa daripada ke sekolah yang 100% bangsa Melayu. Hal ini demikian kerana saya mahukan anak-anak saya membuka minda mereka bercampur gaul dan menyayangi bangsa-bangsa lain. Bukankah itu lebih menarik? Tidak mahulah saya lihat anak-anak saya menjadi stereotaip dan mula membayangkan bangsa lain begitu asing.

Apakah sebenarnya yang menjadi titik tolak batu penghalang sekolah satu aliran ini? Jika kita amati, United Kingdom menerapkan di sekolah-sekolah satu bahasa iaitu bahasa pengantar kebangsaan mereka, iaitu Bahasa Inggeris dan ianya tidak pula menjadi isu kepada bangsa-bangsa yang lain. Tidak pula masyarakat Pakistan memaksa Bahasa Urdu menjadi bahasa pilihan mereka di sekolah? Gadis-gadis India-British giat pula saya perhatikan berbahasa Inggeris siap dengan loghatnya. Tidak kurang pula masyarakat Cina-Inggeris di sini berdasarkan seorang rakan mahjong saya yang fasih berbahasa masyarkat berhidung tinggi ini. (Nota: saya bermain mahjong tidak berjudi). Jadi, adakah set minda seperti ini susah untuk digunapakai di Malaysia?

Apa yang penting ialah kita berbahasa dengan satu bahasa. Janganlah begitu menganggap bahasa kebangsaan itu milik bangsa saya 100%. Lihatlah dalam artikel saya ini. Banyak perkataan Inggeris telah dipinjam untuk menulis Bahasa Malaysia. Sebab itu saya mengambil positif apabila Bahasa Melayu telah diwartakan kembali kepada Bahasa Malaysia. Sebab ia juga milik bangsa lain seperti India, Cina, Kadazan, Bidayuh, Iban dan lain-lain. Dengan erti kata lain, bahasa ini milik semua rakyat Malaysia!

Mungkin masyarakat Cina dan India takut jika bahasa mereka diluput zaman. Usahlah risau. Jika kita lihat masyarakat Arab-Malaysia, walaupun bahasa mereka tidak diguna-pakai di sekolah-sekolah Malaysia, Bahasa Arab masih diajar secara elektif di sekolah-sekolah agama dan harian. Saya sendiri berkesempatan berguru menuntut Bahasa Arab. Dan ia masih lagi lekat di lidah walaupun hanya sekelumit. Jika mahu berinteraksi, sedikit-sedikit boleh lah di Dubai sebulan yang lalu. Kai-fa haluk? Kam dirham ila Burj Al-Arab? Mungkin tatabahasa dan penguasaan bahasa amat lemah tetapi boleh berinteraksi. Jika saya yang tidak bijak inipun masih lekat di lidah, saya yakin yang dipupuk sejak kecil lagi semestinya akan lekat terus bahasa itu di sanubari mereka!

Pokoknya, bahasa Cina dan Tamil boleh sahaja diajar di sekolah-sekolah satu aliran ini. Tambahan pula, di rumah, bahasa-bahasa ini lebih mudah diterapkan. Mengapa Bahasa Malaysia dikatakan bahasa yang tidak perlu kita pelajari? Atas alasan ia milik bangsa Melayu? Sepertimana yang disebut tadi, ia milik kita semua. Dan bukankah ia sangat penting untuk integrasi kaum? Buanglah segala ego dan perasaan perkauman itu dan belajarlah bahasa yang paling mudah di dunia ini.

Apabila saya cakap bahasa yang mudah, hal ini bukanlah kerana saya ini orang Melayu. Padahal ia sangat mudah atas sebab struktur tatabahasa yang sangat mudah difahami. Jika dalam French, kita ada 'feminine' dan 'masculine', di dalam Bahasa Malaysia, tiada. Jika bahasa Inggeris ada 'past tense dan present tense', Bahasa Malaysia kita hanya perlu tambah perkataan 'sedang, telah atau akan' sahaja.

Bukankah ianya sangat mudah?

Sukar untuk saya terima jika Bahasa Inggeris dijadikan medium perantara utama di sekolah-sekolah satu aliran ini. Kerana ini adalah negara Malaysia. Bukan lagi negara penjajah British. Namun, bukanlah saya sarankan untuk melupuskan bahasa ini sama sekali. Bahasa Inggeris masih wajib kerana ia adalah sangat penting di dunia ini. Tetapi kita mestilah ada identiti kita sendiri. Iaitu identiti Malaysia. Identiti timur. Maka, Bahasa Malaysia lah yang kita mahu gunakan. Siapalah kita ini jika bahasa asal dilupakan?

Apa yang paling penting ialah kita hidup bersama berbilang kaum dengan aman. Budak-budak sekolah belajar bermain bersama berbilang kaum sejak kecil. Sebab bukankah melentur buluh itu dari rebung?

Saya tidak rasa ini susah untuk dipraktikkan. Asalkan kita dapat bertolak-ansur, maksud saya, apa salahnya? Pokoknya apakah yang lebih penting? Keharmonian negara bukan? Kerjasama di antara kaum bukan? Saya perhatikan politik Malaysia masih lagi berteraskan etnik tetapi kita masih lagi dalam proses transisi ke arah integrasi kaum yang lebih mapan.

Lagi sekali saya mahu sarankan. Bahasa Malaysia bukanlah milik satu bangsa. Ia adalah milik kita rakyat Malaysia. Namun, kita tidak akan melupakan bahasa-bahasa asli seperti Bahasa Melayu Asli, Mandarin, Hokkien, Kantonis, Tamil, Arab, Portugis dan lain-lain di mana ianya semua diajar juga di sekolah-sekolah satu aliran ini. Ia masih boleh dikuasi oleh siapa-siapa sahaja. Bahasa Malaysia dipilih untuk menjadi bahasa utama kerana ia adalah bahasa kebangsaan. Maka persoalan tidak akan timbul jika ia dilihat seperti bahasa yang menyatukan kaum.

Tiada masalah!

Dalam konteks yang sama, saya juga tidak menghalang jika sekolah-sekolah berasrama penuh dibuka juga kepada masyarakat yang lain. Saya difahamkan, Kolej Yayasan Saad Melaka telah membuka peluang kepada masyarakat bukan Melayu. Ini adalah langkah yang bijak. Saya juga tidak menghalang jika MRSM juga dibuka untuk semua kaum (MRSM Beseri contohnya telah membuka peluang kepada pelajar-pelajar Thai, India dan lain-lain). Ini juga termasuk MCKK, TKC, STF, SSP dan lain-lain. Apa-apa sahaja, asalkan integrasi kaum dapat dilaksanakan.

Ini juga termasuk universiti-universiti tempatan supaya kita lebih kompeten dan bekerjasama.

Saya berpeluang untuk kembali bersahabat dengan rakan-rakan bukan Melayu apabila memasuki Kolej Yayasan UEM (KYUEM) atau sebelumnya dipanggil Kolej Matrikulasi Yayasan Satu (KMYS). Sebelum itu, saya hanya berpeluang mengenali rakan-rakan bukan Melayu di sekolah rendah SRK St Francis. Di sinilah saya mengecapi kebebasan bersosial dengan masyarakat secara lebih terbuka di mana debat-debat perkauman dan agama dilakukan dengan penuh tertib dan ini membuahkan ide-ide bernas dan neutral. Yang penting sekali, integrasi kaum dapat dijalankan.

Seorang sahabat berkata "Why bother? We live in a racist world anyway!"

Maaflah. Malangnya saya tidak seperti kamu yang hanya mahu mengikut keadaan semasa dan sudah 'complacent' dengan keadaan sekarang. "I'm not willing to follow the herd. Why should I?" ujar saya sinis kepadanya.

Jika masih ada ruang untuk kita baiki negara Malaysia, 'I'm up for it'. Ceteklah fikiran saya jika saya memilih seseorang itu berdasarkan warna kulit. Ceteklah jika saya menghina pemenang sukan tennis wanita Wimbledon 2007 tanpa sebab contohnya. Lagipun, kita semua sama sahaja. Manusia semuanya.

Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan pendapat saya ini. Malah mungkin ada yang melabel saya 'perosak bangsa' dengan pandangan tak seberapa saya ini. Maaflah. Saya lebih pentingkan keharmonian sejagat daripada hendak menang sorak meraih sokongan bangsa saya sahaja. Insya Allah, sebelum saya menghembus nafas yang terakhir saya nanti, harap-harap dapatlah saya lihat perubahan dalam politik dan sosial Malaysia.

Sudah cukup jika ia bermula dengan sekolah satu aliran.

6 comments:

Mohammad Ihab Ismail said...

Salam..

Idop Bahasa Kebangsaan!! ;)

Jih Ying 致颖 said...

My dad was a primary school headmaster.

From his perspective and experience, there are a lot of implementation issues that will not make the 'satu aliran' school possible.

The main obstacles - our current race based politics and lack of one unified national identity. Chicken and egg issue.

Some of the issues are quite sensitive - wouldn't want to go too deep.

Come to think of it, probably the 'sensitive' word is an obstacle too. As long as we avoid discussion nothing could be achieved.

Madeku367 said...

Admitting your mistakes will be a good start. I f we admit our mistakes, thats the first step for a change. Putting away your ego and self-interest will come along too.

If you want to make something good for the rakyat to happen, of course we have to do something about it and strive for it.

It is still possible. Pak Lah has pointed out the idea by saying 'Kalau boleh, saya taknak lah banyak2 jenis sekolah di malaysia ni. Biarlah kalau ada satu jenis sekolah sahaja...'

and the recent Bahasa Melayu being reverted to Bahasa Malaysia is another indication for it to happen.

It's all up to us actually. The Malays, Chinese, Indians and others. We must be willing to put away all the chicken and egg stuff for a better Malaysia. For a united Malaysia!

Sensitive or not.. i think that's only something emotional...

Anonymous said...

yaa jih ying.when come to ur bangsa punya hal u don want to comment.too sensitive u said.about islam u dare to comment pulak?

Madeku367 said...

that's quite harsh.

but I am curious as well.

WHy the Chinese want Chinese Schools? Does it not deviate us more?

And what's wrong with Bahasa Malaysia? As long as it is used to unite us, I think why not?

It's the language for Malaysians!

The Malaysian Language.

Anonymous said...

There are too many obstacle in the road to success a 1 malaysia..
Not say impossible but it is more tough than u think.
Since there is so many sensitive issues, especially races..
Who dare to take his/her initiative step to strive for it?
Think deeply,sensitive or not is not merely an emotional act...