Monday, June 16, 2014

Rumusan Istihalah Khinzir

Artikel saya sebelum ini yang telah dipaparkan di beberapa media internet dan sosial sungguhnya telah menimbulkan kontroversi di kalangan pembacanya. Ada yang menegur saya terus di Facebook melalui "private message", ada yang sanggup mencari saya di laman sosial itu semata-mata untuk "mengajar" saya, ada yang menyokong pandangan saya, tidak kurang pula ada yang mencaci dan memaki-hamun.
 
Takkan lah kerana babi orang Islam berbalah? Percayalah, inilah realiti umat Islam di masa kini, khususnya umat Islam Malaysia.
 
Alhamdulillah, apapun saya menganggap kejadian ini adalah hikmah bagi mendekatkan diri saya kepada Allah SWT. Di akhir pendebatan saya sempat merakamkan jutaan terima kasih dan menyatakan secara terbuka yang tidak pernah terlintas di hati saya untuk memusuhi, berdendam atau memutuskan silaturrahim dengan para pembaca yang terlibat, walaupun berlainan pendapat.
 
Dalam masa yang sama saya juga berkesempatan untuk berbual dengan seorang sahabat yang merupakan seorang pakar kimia. Setakat ini, menurut pandangannya, isu ini masih menemui jalan buntu. Dalam proses istihalah mendapatkan gelatin, walaupun proses itu cuba untuk menyahkan DNA sumber, namun masih tetap ada kesan-kesan DNA sumber (khinzir).  Justeru, beliau telah memperingatkan tentang konsep istihlak, bukan sahaja istihalah, di mana "extreme dilution" telah berlaku.
 
Konsep istihlak bersandarkan kepada suatu kisah pada zaman Rasulullah SAW di mana bangkai haiwan telah jatuh ke dalam satu perigi air. Bangkai haiwan, sepertimana yang diajarkan dalam beberapa surah di dalam Al Quraan, adalah najis. Namun dalam kisah ini, Nabi SAW telah bersabda jika air di dalam perigi itu melebihi sukatan tertentu, maka air itu tetap suci. Konsep istihlak bagaimanapun lebih berkait rapat dengan air. Perkara ini dikukuhkan dengan suatu hadis yang menyatakan bahawa air itu suci dan menyucikan.
 
Seorang sahabat yang lain menegaskan tentang konsep istihalah arak, di mana arak yang haram asalnya adalah daripada anggur (halal) dan arak juga boleh bertukar menjadi cuka (halal). Namun perbandingan ini adalah tidak berkaitan kerana yang menjadikan arak itu haram adalah kerana ia memabukkan dan setiap yang memabukkan, walaupun bilangan kecil atau banyak adalah haram. Apabila diminta untuk memberikan dalil tentang istihalah khinzir, beliau memberitahu saya tentang suatu hadis di mana setiap yang disamak itu suci. Persoalan saya mudah, adakah dengan hadis ini kita boleh menyatakan bahawa daging khinzir yang disamak itu adalah suci untuk dimakan? Cawan yang dijilat anjing itu apabila disamak, akan menjadi suci. Bukan air liur anjing tersebut. Inilah sebenarnya maksud hadis tersebut.
 
Kerajaan Saudi Arabia telah mengambil pandangan di mana gelatin babi tetap haram (Rujuk Al-Fiqh Islamiy tahun 1986). Ini terbukti apabila Saudi Food and Drug Authority baru-baru ini telah mengarahkan beberapa sampel coklat Cadbury dari pasaran Saudi Arabia diuji bagi menentukan jika porsin digunakan. Ini menunjukkan mereka tidak bersetuju dan menolak fatwa oleh European Council for Fatwa and Research yang menyatakan gelatin babi itu halal. Namun, ini tidak bermaksud Saudi Arabia menghina mereka, lebih-lebih lagi Professor Yusuf Al Qardawi. Saya juga tidak menghina beliau dan banyak tulisan beliau yang lain telah menjadi rujukan kepada saya.
 
Surah An-Nisa' ayat 59 telah mengingatkan kita supaya kita taat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Jika berlaku percanggahan pendapat, Allah menyuruh kita yang benar-benar beriman kembali kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya - Hadith). Ini adalah yang paling utama bagi kita dan yang lebih baik. Ayat ini jelas menyuruh umat Islam yang beriman bersepakat dalam apa juga permasalahan, bersandarkn kepada Al-Quraan dan Hadith.
 
Tambahan pula menurut satu Hadith, Rasulullah SAW telah bersabda bahawa baginda telah meninggalkan dua perkara yang kita tidak akan sesat asalkan berpegang teguh kepadanya, iaitu Al Quraan dan Sunnah. (Rujuk HR Malik).
 
Lumrah belajar apabila berilmu, maka janganlah angkuh. Apabila berguru, jangan lah taksub. Tidak ada manusia lagi yang bergelar maksum melainkan para rasul. Sesiapa sahaja boleh melakukan kesilapan dan hanya Allah yang Maha Bijaksana, Maha Pemurah Lagi Maha Pengampun. Perkara ini penting kerana ini soal Aqidah.
 
Akhir sekali, kita sebagai umat Islam tidak perlu menggalakkan industri penternakan khinzir dan pemprosesan makanan yang menggunakan khinzir. Ada lagi alternatif yang lebih baik dan keyakinan terhadap makanan akan terus meningkat.
 
Aneh, tatkala masyarakat Barat berlumba-lumba untuk menyediakan makanan yang sesuai untuk golongan vegetarian khususnya dalam coklat dengan logo "V", kita pula bercangkaran mahukan gelatin babi dalam makanan. Mereka juga telah berusaha mencari alternatif gelatin dari babi dengan menggunakan gelatin ikan dan juga hypromellose (yang sesuai untuk vegetarian) dalam pembuatan makanan dan ubat-ubatan.
 
Jika ada yang masih terus-menerus mahukan coklat perisa gelatin babi, maaflah, di hari raya nanti saya tidak mampu untuk adakannya untuk anda dan anak-anak.

2 comments:

Anonymous said...

Kalau Tuan tak hina Prof Qardawi, mengapa sebut fatwa auta?

Jeg Hui said...

Ada juga seorang ahli agama dari Germany seorang perempuan, menyatakan bahawa tidak perlu pakai tudung, dan "fatwa" beliau bersandarkan ayat Quraa. Tapi kalau dah twist ayat Allah, fatwa auta lah namanya.