Presiden Amerika Syarikat, Barack
Hussein Obama II pernah berkata “There is no short-cut to peace” (tidak
ada jalan pintas untuk keamanan) apabila Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)
menganjurkan kenaikan taraf Palestin sebagai ahli pertubuhan itu. Kenaikan ini
sekaligus akan menyebabkan Palestin diterima dunia sebagai sebuah negara yang
berdaulat dan ini ditentang hebat oleh Israel dan kuncunya Amerika Syarikat.
Tanggal 17 Ogos 2014. Sebenarnya hari
itu adalah hari yang pahit buat Malaysia. Sama ada rakyat mahu sedar atau
tidak, terpulanglah kepada mereka. Bagi saya, tarikh ini sangat menduka-citakan
sehingga air mata jantan ini menitis mengenangkan perbuatan segelintir pemimpin.
Sudahlah Dato’ Menteri Besar Selangor dikhianati dan dizalimi, PAS yang
kononnya menegakkan keadilan dan
kebenaran atas nama Islam telah gagal dalam ujian integriti yang Allah SWT
telah berikan.
Tan Sri Khalid Ibrahim kini
seorang diri dalam menegakkan yang benar tentang dirinya. Alim ulama berjanggut,
bermisai, berserban yang sebelumnya mempertahankan beliau telah berubah fikiran
dalam masa yang singkat. Hanya kerana Khalid tidak lagi bersama Pakatan Rakyat.
Eh, tidak tahu lagikah? Khalid dibuang parti secara tidak adil kerana tidak
diberi peluang memperjelaskan apa-apa pun. Bukannya dia sendiri yang mahu tinggalkan
Pakatan Rakyat.
Saya yang beribu batu jauhnya pun
boleh merasakan betapa ruginya PAS setelah menolak peluang untuk bersatu demi
Islam dan Malaysia. Mungkin ada yang kata saya ini isti’jal (tergesa-gesa)
dalam mahukan keamanan negara melalui kesatuan ummah. Ingat, Obama berkata “there
is no short-cut to peace”. Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya
apabila disuruh jangan isti’jal adalah kata-kata Barack Obama yang zalim
terhadap rakyat Palestin ini. Bagi saya, “Peace should be made as a priority
and there is ALWAYS a short-cut to peace” (Keamanan itu adalah utama dan
jalan pintas SENTIASA ada untuk keamanan).
Jadi, apa kena-mengena keputusan
PAS dengan keamanan Malaysia yang saya mahukan? Tidak tahulah bagi anda tetapi
tidak jemukah soal-soal agama dan perkauman dijadikan alat bagi
memecah-belahkan rakyat Malaysia? Tidak pernah-pernah sebelum ini laungan azan masjid
dipersoalkan, lembu dijadikan sembelih korban boleh menjadi kontroversi,
kalimah “Allah” dipolitikkan, masjid, gereja, kuil Hindu dan Buddha dibakar,
kepala lembu dijaja bagi mencabar rakan-rakan beragama Hindu, Ramadhan dipelawa
dengan bak kut teh, pemimpin menyokong umat Islam diberikan kebebasan murtad, yang
berbangsa India dipanggil “Peria”, yang Cina dipanggil babi, yang Melayu
dipanggil orang hutan, agama Kristian dipermain-mainkan, kitab bible dijadikan wadah politik, fatwa
tentang perkara yang jelas berbeda-beda dan lain-lain lagi. Saya ini tidaklah
begitu tua tetapi sepengetahuan saya, perkara-perkara ini telah menjadi-jadi apabila
rakyat Malaysia tidak bersatu sejak tahun 2008.
Sebelum ini saya ada menulis
tentang pentingnya umat Islam bersatu supaya rakyat Malaysia bersatu dan
peluang besar ini gagal digenggam oleh PAS. Katanya UMNO itu jahat (PKR tidak
jahat), UMNO itu kafir (DAP tidak kafir), UMNO itu korup (PKR, DAP tidak
korup), UMNO itu mengamalkan kronisme dan nepotisme (PKR, DAP tidak). Ketua
Umum PKR mahukan isterinya jadi Menteri Besar Boneka Selangor dan sanggup
menikam sahabatnya yang saya sendiri akui sebagai menteri besar yang terbaik
Selangor pernah ada. Apa lagi yang tidak jelasnya? Khilaf juga?
Saya tidak setuju dengan
kenyataan beberapa pemimpin yang berbaur perkauman. Umat Islam bersatu tidak
bermakna yang bukan Islam akan dihina, dicerca, dihukum, dianak-tirikan sampai
tidak boleh “angkat muka”. Islam mengikut sejarah yang ada tidak pernah melakukan
diskriminasi berdasarkan agama dan kaum. Yang dicanang oleh penulis Barat
tentang kezaliman negara Islam berkenaan Jizya (cukai kepada yang bukan
Islam) tidak menyebut tentang adanya Zakat (cukai untuk yang beragama Islam).
Nabi Muhammad mengharamkan riba’ kepada penduduk Yahudi dalam negara Islamnya
bukan bermaksud diskriminasi. Agama mereka sendiri mengharamkan riba’! Lagipun
riba’, arak, judi, zina dan liwat adalah perkara-perkara yang tidak baik pun
untuk masyarakat. Sekiranya dalam kehidupan saya, umat Islam Malaysia bersatu
tetapi berlaku tidak adil terhadap yang bukan Islam, saya sendiri yang jelik
dengan menunjuk perasaan ,akan berguling-guling di atas jalan raya membangkang!
Berfikirlah sejenak. Tidak ada
agama yang zalim dan Islam sebenarnya adalah agama yang reformis. Daripada
masyarakat yang jahil, membunuh anak-anak perempuan, menghina kaum wanita,
berzina, berjudi dengan anak panah… Islam hadir tepat pada waktunya dan merubah
kehidupan masyarakat Arab ketika itu dan kini seluruh dunia.
Apa lagi yang pemimpin PAS
tunggu, entah lah. Katanya drama Selangor belum tamat lagi. Boleh pula
mencadangkan pemimpin politikus yang tidak disenangi rakyat Selangor sebagai
pelan B. Katanya Khalid terpaksa pergi demi kestabilan Selangor. Padahal yang
mengkucar-kacirkan Selangor adalah PKR. Katanya tidak perlu tergesa-gesa dalam
menegakkan kebenaran dan selesaikan krisis Selangor. Padahal tahu Sultan tidak
mahukan Wan Azizah sebagai khalifah Selangor. Padahal jika PAS bersama yang
benar, Selangor dan Malaysia dengan izin Allah akan stabil, makmur dan harmoni.
Asalkan jika niat berkerja demi
rakyat. Bukan demi politik.