Showing posts with label Finance. Show all posts
Showing posts with label Finance. Show all posts

Monday, February 10, 2014

Riba' dalam Islam dan produk kewangan masakini

Saya tertarik dengan tweet yang dibaca di 'timeline' saya baru-baru ini apabila seorang saudara Islam dari Malaysia menegaskan bahawa Amanah Saham Bumiputra itu haram, dengan tweetnya semuanya berhuruf besar. Saya bersyukur rakyat Malaysia masih mahu menjaga halal dan haram walaupun beberapa 'public figure' seperti artis "diva pujaan" mahupun pemimpin "agung anugerah Tuhan" tidak memberi contoh yang baik kepada masyarakat. Soal makanan khususnya sangatlah dititik-berat oleh masyarakat Muslim Malaysia di mana pihak restoran disarankan meletakkan sijil halal bagi meyakinkan mereka ini, sehinggakan air mineral dan ubat gigi juga disuruh letak logo halal.
 
Sebelum kita berbincang, mari kita lihat dalil-dalil pengharaman riba' oleh Allah S.W.T. kerana itulah sebaik-baiknya:
 
"dan disebabkan mereka memakan riba, padahal sesungguhnya mereka telah dilarang daripadanya, dan kerana mereka memakan harta benda orang dengan jalan yang batil. Kami telah menyediakan untuk orang-orang yang kafir di antara mereka itu siksa yang pedih." - An-Nisa' 161
 
"Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kerasukan syaitan. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang kembali (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya" - Al-Baqarah 275
 
"Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa. Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak)." - Al-Baqarah 276-280
 
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dua atau berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya." - A-li'Imraan 130
 
Jelasnya di sini Allah S.W.T. telah mengajar kita di dalam Al-Quran yang riba' itu sememangnya haram. Allah juga telah mengajar kita definisi riba' iaitu menggandakan nilai pokok sebanyak dua kali ganda atau lebih demi keuntungan pemiutang (pemberi hutang). Allah juga menyarankan yang jika penghutang itu dalam keadaaan susah, hendaklah memberikan masa kepadanya untuk melangsaikan hutang tersebut. Jika penghutang sememangnya tidak mampu membayar hutang tersebut, hendaklah melupuskan hutang tersebut dengan niat kerana bersedekah kerana Allah.
 
Sekarang, berbalik pula kepada persoalan jika unit Amanah Saham Bumiputera itu haram kerana percampuran dengan kaunter-kaunter saham yang di luar dari syarak. Sekiranya kaunter saham tersebut merangkumi jual-beli barangan haram seperti alkohol, jelas sekali penggunaan unit saham itu adalah makruh berdasarkan beberapa hadith kerana unit itu kini menjadi "harta syubahat".
 
Namun begitu adalah lebih selamat jika harta syubahat (yang ragu-ragu) itu dielakkan. Dari konteks ASB pula, yang diragui adalah perniagaan perbankan yang menjadi aset utama dalam tabung amanah tersebut. (Malayan Banking Berhad 23.23% - 31/12/2012)
 
Saya berpeluang untuk mendapatkan bantuan pinjaman perumahan daripada Maybank Islamic untuk membeli sebuah rumah di Shah Alam. Jika saya, (aku berlindung dengan-Mu ya Allah daripada musibah ini) mengalami sesuatu kesusahan dan terpaksa lewat membayar hutang tersebut, saya akan dikenakan denda sebanyak beberapa peratus daripada nilai baki akaun pinjaman. Ini juga bertentangan dengan dalil di atas dalam ayat Surah Al-Baqarah ayat 280. Sepatutnya, diberi peluang kepada peminjam beberapa waktu untuk melangsaikan hutang tersebut.

Mari kita lihat satu ilustrasi pinjaman perumahan di mana interest/profit rate adalah 4.2%, "daily-compounded", selama 30 tahun dan nilai pokok RM500,000. Jika dikira, nilai bayaran setiap bulan adalah RM2,446. Jumlah bayaran keseluruhan termasuk interest setelah 30 tahun adalah = 2446 x 12 x 30 = RM 880,560. Jumlah ini tidak melebihi dua kali ganda daripada nilai pokok (1.76112 kali ganda). Pengiraan ini tidak termasuk inflasi di mana nilai RM 880,560 kini tidak sama dengan RM 880,560 akan datang. (Insya Allah akan dikongsikan pendapat tentang inflasi dalam artikel yang akan datang). Pada hemat saya, pinjaman wang ini adalah halal dan dipersetujui kedua-dua pihak asalkan denda seperti di atas tidak dikenakan.

Jika kita lihat pula suatu ilustrasi pinjaman perseorangan (personal loan) dan saya akan berikan contoh yang sebenar-benarnya berlaku. Seorang hamba Allah ini mahu memulakan perniagaan MLM "bantal/tilam ajaib cahaya Dhuha" dan mahu mendapatkan pinjaman perseorangan sebanyak RM 3,000 sebagai modal. Beliau telah dipujuk oleh "upline"-nya untuk mengambil pinjaman ini dan setelah berjumpa dengan agen pemberi hutang dari syarikat AEON, beliau dikenakan bayaran sebanyak RM 128 selama 5 tahun. Ringkasnya, jumlah perlu dibayar selepas 5 tahun adalah RM 7,680 iaitu 2.56 kali ganda daripada nilai pokok. Pinjaman wang ini jelasnya adalah haram kerana melebih dua kali ganda. Jika diamati daripada website AEON, www.aeonmalaysia.com.my, bagi jumlah pinjaman yang sama, "installment table" jelas menunjukkan bagi "New Customer" dia cuma perlu bayar selama 3 tahun sahaja, bukan 5 tahun. Jika ini yg diikuti, jumlah bayaran setelah 3 tahun adalah 1.536 kali ganda sahaja, kurang daripada 2 kali ganda yang dibenarkan oleh syarak. Jadi, sama ada peminjam ini ditipu oleh agen AEON atau "upline"nya wallahualam. Namun bagi saya, saya takkan ambil pinjaman seperti ini. Terlalu mahal dan tidak menjamin keuntungan hatta bayaran balik pinjaman!


Ringkasnya, sistem pinjaman wang di Malaysia sama ada "Islamic" atau konvensional masih lagi mempunyai ruang untuk diperbaiki walaupun ia semakin dekat ke arah "Pure Islamic Finance"/"Ethical Finance". Hal ini telah dibincangkan oleh saya di artikel ini. Jadikanlah Al-Quraan sebagai pegangan setiap insan kerana soal riba' telahpun diajar oleh Islam secara jelas dan telus kepada manusia sekaligus menjawab persoalan halal haram dalam produk kewangan masakini.

Semoga Allah memberkati usaha kita untuk berjaya di dunia dan di akhirat.

Mohd Azrul bin Abu Hassan

 
 
 

Monday, June 06, 2011

Halalkah Perbankan Islam di Malaysia?

Tajuk: Halalkah Perbankan Islam di Malaysia?
Oleh: Jeg Hui
Tarikh: 12/05/2011


Artikel ini ditulis untuk pertandingan menulis karangan di tempat penulis bekerja. Malangnya artikel ini gagal menggondol apa-apa hadiah yang berupa IPad.

Saya berpeluang untuk menggunakan perkhidmatan perbankan Islam baru-baru ini untuk membeli sebuah rumah teres dua tingkat di Shah Alam. Ketika itu bulan Disember 2010 dan saya cukup ligat mencari rumah yang sesuai lokasinya dan cantik. Al-maklumlah, dalam keadaan pasaran hartanah yang sedang hangat, saya menjadi terikut-ikut pula untuk tidak melepaskan peluang kerana fikir saya, harga rumah tidak akan turun terutamanya rumah ‘landed’.

Alhamdulillah, takdir telah ditentukan, rezeki saya ada apabila diberitahu oleh Pemaju X bahawa tiga unit masih lagi belum dijual untuk fasa yang pertama. Lantas, saya pergi ke Shah Alam dan nah, tersergam indah rumah-rumah di situ yang bercirikan moden kontemporari dengan tingkap-tingkap yang besar. Hati berdegup kuat kerana telah diberitahu harganya yang tidak lah begitu mahal. Sebelum ini saya ada pergi ke Padang Jawa untuk melihat sendiri kawasan perumahan yang berkonsep Hijau dan harga jualannya mencecah setengah juta.

“Mana-mana yang bawah setengah juta, saya akan sebat!” fikir hati kecilku. Tambahan pula, saya jatuh cinta melihat betapa cantiknya rekabentuk rumah yang di Shah Alam itu yang kini kugelarkan “Googie”.

Setelah selesai membayar yuran pendahuluan, kemudian tiba pula giliran untuk mendapatkan perkhidmatan pembiayaan perumahan. “Perbankan Islam!” kata hati saya berseloroh. Sebagai seorang Islam saya wajib mengelak bersubahat dalam riba’. Saya terus mendaftar masuk ke forum hartanah di LowYat.Net bagi mendapatkan pandangan ‘sifu-sifu’ Melayu, Cina atau India tentang pakej pembiayaan yang hebat. Seorang pengguna berketurunan Tiong Hwa berpendapat pakej terbaik ketika itu adalah “Islamic Bank MM BFR -2.4”.

Dengan semangat inkuiri yang tinggi saya terus mencari kertas-kertas projek penulisan mengenai perbankan Islam dengan tujuan memilih pakej yang manakah yang paling baik untuk saya. Lagipun saya ini sedikit ‘kiasu’ di mana saya sedikit sebanyak mempunyai sikap pantang mengalah, mahu pakej yang murah-murah dan terbaik sahaja.

Setelah memohon mengisi borang seraya bagai bersama tujuh bank, akhirnya saya telah mendapatkan perkhidmatan Bank Y. Hal ini adalah kerana “MM BFR-2.3” telah ditawarkan kepada saya. “MM” bermaksud Musharakah Mutanaqisah dan ia berdasarkan konsep Perkongsian Berkurangan (Diminishing Partnership”. Secara teorinya, konsep ini memupuk pembiayaan perumahan secara kongsi di mana sejak bermulanya perjanjian perkongsian ini, pemilik-pemilik rumah adalah pengguna (10%) dan bank (90%). Hal ini adalah kerana pengguna telah membayar 10% daripada harga asal kepada pemaju (downpayment) dan terus mendapat 10% pegangan dalam nilai rumah itu.

Secara dasarnya juga, fikir saya, dalam keadaan di mana pengguna gagal membayar ‘sewa’ dan tebusan ekuiti bulanan (melalui konsep ijarah) kepada bank, pengguna boleh menuntut sebahagian daripada ekuiti rumah atau hartanah itu. Pengguna juga tidak perlu risau kerana Musharakah Mutanaqisah memupuk semangat rakan kongsi di mana di dalam waktu pengguna susah, bank akan bantu. Setiakawan lah katakan!

Tanpa berfikir panjang atau membaca segala pelosok perkara terperinci dalam kontrak pembiayaan, dengan perasaan yakin Malaysia sebagai negara Islam yang selalu sangat menekankan soal halal haram kepada umat Islam, dengan bacaan Bismillahirrahmanirrahim, saya menurunkan tanda tangan saya yang menyerupai kapal layar zaman pemerintahan Uthmaniyah. Namun beberapa ketika kemudian, hati kecil bertanya, “di mana Aqadnya?”. Peguam kontrak pembiayaan perumahan pun dengan jelas berkata “kalau encik baca kontrak ini takut nanti tak jadi beli rumah pula”. Ah, mungkin dia bergurau sahaja, fikirku. Mana mungkin aku ditipu. Ini bukan Ah-Long Bukit Beruntung (Berugi). Bank ini tersohor.

Apabila pulang ke rumah, mulalah berfikir bukan-bukan dan kemusykilan mula timbul. Semasa menanda -tangan kontrak itu, tidak ada ustaz atau orang yang arif dalam perbankan Islam di sisi. Macam konvensional pun ada. “Mortgage Consultant” pun wanita muda, berskirt pendek berbangsa Tiong Hwa bernama Mei (bukan nama penuh). Namun aku yakin, kalau isu ubat gigi, barangan kulit atau kopitiam haram yang kononnya mengandungi bahagian khinzir pun masyarkat Malaysia sangat prihatin dan paranoid, inikan pula soal riba’ yang sangat jelas haram seperti yang diterangkan di dalam Al-Quran.

Segalanya sangat mudah. Tempoh saya mengisi borang permohonan pembiayaan sehingga mendapat kelulusan pihak atasan bank hanyalah empat hari. Oleh kerana sedikit lewat mendapatkan perkhidmatan pembiayaan, hampir setiap hari saya ‘mengasak’ pihak bank dan peguam supaya cepat memproses bayaran baki rumah itu. Dalam tempoh kurang daripada satu bulan, segalanya pun selesai. Tanggal 12 April 2011, saya telah diserahkan kunci oleh pemaju dan denda pun tidak dikenakan kerana pembayaran baki oleh bank adalah pantas.

“So far so good”.

Jam berganti jam (bukan jam Omega). Hari berganti hari. April nanti diganti Mei… Amboi, teringat pula kepada Mei, “Mortgage Consultant” saya itu! Dah lama tak dengar khabarnya. Diam-diam sahaja sejak saya turunkan tanda tangan kontrak. Harap-harap bulan Mei ini semangat setiakawan Bank Y dan saya akan terus berkekalan. Saya telah diberitahu saya akan terima surat daripada rakan kongsi saya, Bank Y tentang pembayaran ‘sewa’ dan pembelian berperingkat ekuiti rumah itu pada 1 Mei 2011. Kerana percayakan kawan, duit telah pun saya siap-siapkan dalam akaun bank saya. Surat itu pun tiba seminggu sebelum tarikh yang ditetapkan.

Tiba-tiba, saya terima surat lagi daripada rakan kongsi saya. Aih, beritahu sekali cukuplah, bro! Takkan tak percaya rakan kongsi sendiri. Namun apabila dibuka; “Ruj: Notis Debit bagi bayaran Sumbangan Takaful”. Aik, sejak bila pula saya berkelakuan sumbang apatah lagi sumbang mahram? Oh, sumbangan Takaful… tapi Takaful apa ini? Saya dah beritahu mereka awal-awal lagi dan pihak Bank Y sedar yang saya mahu mendapatkan perkhidmatan takaful di tempat saya bekerja bagi perlindungan Mortgage Reducing Term Takaful (MRTT). Pasti saya akan menyokong Takaful XYZ jika tidak hipokrit sebesar Hippopotamus lah saya! Rupa-rupanya perlindungan takaful kali ini adalah perlindungan perumahan yang rata-ratanya wajib diambil oleh peminjam. Tetapi dimanakah hak saya untuk memilih pihak pengurus takaful? Mengapa mahu paksa saya ambil perlindungan takaful dengan anak syarikat Bank Y ini?

Berbekalkan sikap husnuzon (bersangka baik), saya terus ke syarikat operator takaful itu bagi mendapatkan penjelasan. Kali pertama pergi, syarikat insurans itu terkejut dengan aduan saya kerana bagi mereka perkara ini tak seharusnya berlaku. “Mungkin cawangan bank encik ni main belasah sahaja!” Sungguh tertib dan penuh hikmah saya dilayan haritu di pusat perkhidmatan pelanggan mereka. Setelah menulis surat untuk memberhentikan polisi serta-merta dan membawa bukti saya telah mendapatkan HomeOwner Takaful oleh Takaful XYZ, tarikh 1 Mei 2011 hadir dengan pembayaran kepada Bank Y sekali dengan bayaran perlindungan perumahan sekaligus. Hati saya mula remuk dipermainkan pihak Bank Y. Adakah ini kewangan Islam yang mereka bawa? Mula-mula mereka paksa saya mengambil perkhidmatan takaful anak syarikat mereka. Kemudian, walaupun saya telah bertungkus-lumus cuba bekerjasama dengan pihak pengurus takaful atas kesilapan Bank Y, sikap Bank Y yang acuh tidak acuh untuk meletakkan sesuatu pada haknya seolah-olah telah menconteng arang ke muka agama Islam. Yang terbaru, Bank Y adalah yang paling awal menaikkan “Base Lending Rate” daripada 6.3% kepada 6.6% berkuat-kuasa 11 May 2011.

Betulkah Islamik ni?

Teringat kertas kerja tulisan tempatan “Musharakah Mutanaqisah: A Solution to Different Interpretations by Malaysian and Middle East Scholars in Islamic Financing.” Oleh Dr. Sazali Zainal Abidin, Dr. Annuar Md Nassir dan Puteri Farah Farena Khoderun dari Universiti Putra Malaysia. Ringkas hasil kerja mereka ini walaupun padat dengan informasi dan saya setuju dengan rumusan yang mereka utarakan. Para cendekiawan kewangan dari Timur Tengah telah pun berpendapat konsep Bai Bithamin Ajil (BBA) dalam pembiayaan Islam adalah sama seperti konvensional di mana riba’ atau bahasa halusnya ‘interest’ terlibat dalam pengurusan kewangan ini. Maka mereka telah menganjurkan konsep Musharakah Mutanaqisah (MM) sebagai alternatif di mana bayaran bulanan adalah jauh lebih rendah dan masih memberikan pulangan kepada bank (rakan kongsi). Tambahan pula, mereka yakin konsep MM adalah lebih baik kerana tidak bersandarkan riba’ sebagai asas pembiayaan kewangan. Ia adalah berdasarkan konsep pembiayaan ekuiti di mana bank bersama-sama membantu membeli rumah tersebut. Pembayaran bulanan adalah berdasarkan kadar sewa bulanan di kawasan rumah itu dibeli (Meera dan Razak 2005). Konsep ini telah diterima-pakai oleh sekalian umat Islam di Timur Tengah di mana hak pengguna lebih terjamin.

Persoalannya, di Malaysia ini bagaimana pula?

Rata-ratanya bank-bank ‘Islam’ di Malaysia masih menggunakan konsep Bai Bithamin Ajil (BBA) yang jelas bersandarkan riba’. Bezanya dengan konvensional cuma di dalam surat tawaran, interest akan ditetapkan mengikut kadar Base Financing Rate (BFR, tetapi cuma ubah nama daripada BLR) semasa sehingga kadar maksimum 10.5% atau 11%. Kemudian, jumlah bayaran sehingga habis hayat pembiayaan akan ditunjukkan dengan jelas, mengikut kadar maksimum tersebut. Persoalannya, kadar maksimum ‘capping’ itu tersangatlah tinggi dan sepanjang Malaysia ini bertapak di bumi, kadar BLR tertinggi direkodkan adalah 10.5% pada tahun 1998, sama dengan capping tersebut. Jadi, apa gunanya? Bagi saya, konsep BBA cumalah mimikan konsep bank konvensional. Nasihat saya, jika pun ada bank yang menawarkan kadar interest yang tetap (fixed-interst loan), biasanya dalam 8%, jangan terlampau yakin tawaran itu adalah yang terbaik. Mereka ini jauh lebih licik daripada yang anda sangkakan.

Jadi, bagaimana dengan Musharakah Mutanaqisah (MM) di Malaysia? Secara teorinya, MM adalah perkhidmatan pembiayaan kewangan yang halal. Berani saya bercakap begitu kerana konsep pembiayaan bersandarkan ekuiti mudharabah adalah halal di sisi agama. Namun, bank-bank di Malaysia tidak mengikut sepenuhnya teori Musharakah Mutanaqisah. Tambahan pula, hanya dua bank tempatan sahaja yang menawarkan konsep MM kepada masyarakat Islam atau bukan Islam di Malaysia ini. Jelas sekali, mereka hanyalah mahu mengaut keuntungan dan tidak mahu ambil risiko ‘membantu’ pelanggan. Selama ini pun bank-bank bukanlah berniat mahu membantu masyarakat. Seperti mana syarikat-syarikat yang lain, mereka cuma mahukan keuntungan yang maksimum. Membantu masyarakat adalah tanggungjawab kerajaan, fikir mereka. Walaupun Bank Y dan Bank Z ada menyediakan pembiayaan menggunakan konsep MM, saya tidak yakin mereka mengikut segala peraturan yang ada di dalamnya. Sebagai contohnya, kontrak persetujuan antara Bank Y dan saya telah dijelaskan oleh peguam sama sahaja dengan BBA di mana saya layak duduk di rumah itu tetapi jika saya gagal membayar balik duit pinjaman itu, maka rumah akan di sita dan dilelong. Bagaimana dengan minimum 10% pegangan saya di dalam nilai pasaran rumah itu? Bank biasanya akan ‘melelong’ rumah itu dan berharap akan mendapatkan harga pasaran untuk rumah itu, setinggi yang mungkin. Untung di situ segalanya milik bank. Bukankah mereka cuma mahukan bayaran prinsipal apabila kontrak itu dibuat? Jika buat untung sekalipun, pegangan ekuiti saya bagaimana? Dapatkah tidak? Lagi satu, bukankah pelanggan mempunyai hak untuk jual rumah itu dahulu sebelum rumah itu disita? Hasil keuntungan itu boleh lah pelanggan bayar baki hutang kepada bank. Tambahan lagi, jika saya terlambat satu hari sahajapun untuk bayaran bulanan kepada bank, mengapa perlu begitu rakus memaksa saya bayar denda kerana lambat? Nasib baik Bank Y menawarkan perkhidmatan pembayaran automatik ‘standing order’. Itupun saya dicas RM1.00 untuk perkhidmatan itu.

Yang paling utama sekali, bank-bank yang menawarkan pembiayaan menggunakan konsep Musharakah Mutanaqisah di Malaysia kadaran bayaran bulanannya masih berlandaskan BFR atau nama bukan Islamnya, BLR. Tidak ada bank yang menawarkan kadar ‘sewa’ bulanan yang berkonsep ‘ijarah’ berdasarkan kadar sewasa semasa di sesuatu kawasan tersebut di mana itulah yang paling adil untuk para pengguna. Jika Negara-negara Arab berjaya mengadaptasikan cara ini di sana, mengapa di sini tidak boleh?

Adakah wang mengatasi segala-galanya?

“For them to change, I must change.” Untuk mengubah, kita harus berubah dahulu. Bank Negara Malaysia (BNM) harus mengambil langkah awal dengan mengasingkan diri daripada perniagaan berlandaskan riba’. Fikirlah, jika BNM 100% komited untuk perbankan secara Islam dan memperbaiki struktur kewangan Malaysia, saya yakin hak pengguna akan terus terpelihara. Para pengguna pun tidak lagi merasakan bank-bank ini hanyalah Ah-Long berlesen. Saya ini bukanlah hanya bercakap dari sudut pandangan seorang pengguna sahaja. Jika pihak bank takut untuk mengalami kerugian akibat risiko yang sangat tinggi maka haruslah mereka tidak lagi memberi pinjaman kepada pembeli sewenang-wenangnya. Pemuda-pemudi kini ada yang jatuh muflis gara-gara kerakusan bank-bank Islam atau konvensional ‘menjual’ perkhidmatan kad kredit. Ada juga kisah di mana pembeli rumah Berjaya mendapat pembiayaan walaupun jumlah tanggungan hutang kini mencecah 60% gaji kasar. Haruskah kita lupa kepada isu ‘sub-prime crisis’ di Amerika Syarikat. Banyak bank yang lingkup kerana ramainya pengguna yang gagal melangsaikan hutang. Jika ada penyiasatan kredit yang tegas, maka tidak ada lagi pengguna-pengguna yang gagal mematuhi perjanjian dengan bank. Ini baru lah Islamik!

Bank tidak seharusnya tamak dalam pengurusan mereka. Jualan yang banyak tidak semestinya menjanjikan keuntungan yang baik apatah lagi halal. Saya yakin jika Bank Negara tolak sistem kewangan konvensional dan menerima pakai konsep kewangan Islam yang betul-betul Islam, bukan hanya tukar nama sahaja, hak pengguna dan bank akan terjaga dan tidak ada lagi jualan yang berlandaskan riba’. Jangan kata orang Islam, orang bukan Islam pun juga akan bersama-sama menyokong sistem kewangan yang halal ini kerana hak mereka lebih terjaga.
Percayalah, jika kita berjaya melaksanakan sistem kewangan Islam yang benar-benar Islam, kebenaran dan keadilan dalam Islam akan terserlah di seluruh pelusuk dunia. Janganlah jadikan alasan bahawa sistem kewangan Islam yang sedia ada ini adalah suatu titik permulaan yang baik walaupun tidak lari dari riba’.

Matlamat tidak menghalalkan cara.