Monday, November 30, 2009

Adab berdoa

Adab berdoa.

Masih aku ingat ketika aku masih kecil. Susuk badan yang memang kecil membuatkan aku menjadi bahan bulian seorang rakan di sekolah agama di Assam Kumbang, Taiping. Sepulangan aku ke rumah, diadukan kisah itu kepada ibuku… tetapi aduan itu hanyalah terpendam di dalam hati. Aku yang pernah menyandang gelaran ‘Si Leleh’ oleh kerana suka menangis, sentiasa mengingatkan diri sendiri supaya menjadi lebih tabah dan kuat seperti abang-abangku.

Namun pada suatu hari, kemarahan aku tidak dapat lagi dibendung. Kerana sangat marahnya aku kepada Hafiz, aku mengeluarkan tangan aku lalu berdoa supaya Allah datangkan bala kepadanya dan gagal dalam peperiksaan akan datang.

Aku pada ketika itu berumur 7 atau 8 tahun. Tidak pasti.

Beberapa hari kemudiannya, aku diajarkan adab-adab berdoa oleh Ustaz Baharum. Seingatku, ada diajarkan tentang doa yang tidak akan diterima Allah dan doa-doa di waktu yang mustajab.

Antara doa-doa yang ditolak oleh Islam termasuklah doa meminta supaya diri sendiri dicabutkan nyawa oleh Allah ketika berada dalam keadaan yang sangat malang dan susah. Peringatan yang diajarkan ustaz ini masih segar di kotak fikiranku.

Aku seraya bertanyakan Ustaz Baharum jika dimakbulkan doa memintakan musibah atau bala diturunkan kepada orang yang jahat yang melakukan perkara-perkara yang menyakiti kepada kawan-kawan, sambil mencebik muka ke arah Hafiz. Aku begitu mengharap Ustaz akan ‘menyokong’ adab berdoa sebegini kerana apa yang aku mahukan hanyalah keadilan dari Allah. Namun aku ternyata salah apabila ustaz menjawab,

“Tidak akan diterima doa yang meminta Allah menurunkan keburukan ke atas orang lain. Sebaik-baiknya, kita doakan supaya dia insaf dan kembali ke pangkal jalan. Jika tak boleh nak tegur pakai tangan, tegurlah pakai mulut dengan kata-kata. Jika tak mampu juga, tegurlah dengan hati dengan mendoakan dia supaya kembali kepada Allah.”

Tersentak hati aku pada ketika itu dan selalu menanyakan kenapa Allah tidak terus membalas si Hafiz yang nakal ini. Ustaz menambah yang dalam berdoa, kita harus bersabar dan nescaya Allah akan perkenan doa kita.

Sehingga kini aku amalkan nasihat yang Ustaz Baharum berikan. Apabila dewasa kini, aku sentiasa kaitkan nasihat-nasihat yang cikgu-cikgu serta ustaz berikan dengan ayat-ayat suci Al-Quraan untuk mendapatkan pengesahannya. Maka tergerak lah hati aku pada hari ini untuk mencari dalil yang menyatakan jika elok atau tidak kita mendoakan keburukan orang lain.

Antaranya adalah seperti berikut.

Nabi s.a.w bersabda :

" Tidaklah seorang muslim di atas bumi ini berdoa kepada Allah dengan suatu doa melainkan doanya tersebut akan dikabulkanNya atau dihindarkan orang itu dari bahaya sebanding dengan apa yang dimintanya selama doa itu tidak mengandungi dosa atau bermaksud hendak memutuskan silaturrahim "

-Hadis Riwayat At-Tirmidzi-

Dan satu lagi,

" Janganlah kamu berdoa buruk terhadap dirimu , begitupun terhadap
anak-anakmu dan terhadap harta bendamu , Jangan sampai nanti doamu itu bertepatan dengan suatu saat dimana Allah sedang memenuhi permohonan , hingga doa burukmu itu benar-benar terkabul "

-Hadis Riwayat Muslim-

Aku sewaktu kecil yang masih naïf itu tidak pernah merasakan dirinya begitu besar sehinggakan boleh melakukan sesuatu perkara yang Allah larang.

Aku pada ketika itu mempunyai semangat inkuiri yang sangat tinggi dan suka bertanyakan soalan kepada ibu bapaku, guru-guru, ustaz dan ustazah.

Bagi aku mereka inilah pendidik, mereka inilah yang aku harapkan supaya tidak sesat dalam arus kemewahan dan kekuasaan duniawi.

Aku pada ketika itu, hanyalah 7 atau 8 tahun, menyesal dengan tindakan mendoakan keburukan saudara seagama.

Sekelumit pun aku tidak berubah, jika diri ini dilihat kebudak-budakan hanya kerana bertanyakan soalan, meminta diajarkan agama yang sebetul-betulnya.

Kerana aku takut azab Allah…

Masih aku ingat, 7 atau 8 tahun umur aku ketika itu.

Yang berumur 78 tahun, bagaimanalah agaknya?

Jeg Hui

2 comments:

Anonymous said...

terbayang muka dia masa kecik2.... budak kecik ni hati dia mmg lurus n naif....depa ni hati masih bersih dan mudah terima ilmu... ;-))

najwa said...

salam.
saya mohon copy paste ye dalil tu..=)