Thursday, June 28, 2007

Mari bersaudara

"Jangan kamu memutuskan hubungan, tidak bertegur sapa, membenci dan berhasad dengki. Jadilah hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Islam tidak menegur saudaranya lebih dari tiga hari"

Hadith Riwayat Al-Bukhari

Tidak ada lagi sepotong ayat yang lebih manis,
Bagi menggarapkan hubungan sesama Islam,
Tidak ada lagi hujah dan dalil,
Yang lebih indah melainkan kata-katamu,
Ya Muhammad,
Tidak ada lagi pegangan yang kugenggam,
Jika tidak Al-Quraan dan Hadith,
Ya Muhammad,
Kau lihatlah umatmu zaman ini,
Benci-membenci,
Berhasad dengki,
Tidak peduli.

Duduk sebumbung tapi sekelumit tak bersapa,
Duduk senegara tapi onar dibuat-buat alpa,
Duduk sebangsa tetapi berlaku fitnah dan dusta,
Duduk seagama tapi pegangan dituduh berbeda.

Bukankah kita bersama bersaudara?
Mengapa rakus politik menjadi agenda?
Kita kini dipandang hina,
Agama pengganas di mata dunia.


Inilah dia, keadaan kita. Duduk sekampung tak bertegur sapa. Masjid bermukim tak kira banyaknya. Masjid PAS, masjid UMNO, takkan mahu masjid PKR juga?

Mahukah kamu menjadi seperti di Timut Tengah? Perbezaan politiklah asalnya sengketa! Puak penyokong Muawiyah atau Ali isu utama. Lahirlah Shiah dan Sunni, kini Sufi pula?

Mahukah kamu melihat anak-anak kecil berduka nista? Melihat negara yang dulunya aman tetapi kini sengsara? Padahal ini semua perebutan kuasa.

"Awak tak paham..." ujarnya lembut tetapi penuh sinis. Tidak pula aku membengis.

Perlukah kita berputus arang berbeza fahaman? Bukankah kita ada Majlis Syura? Bukankah fahaman awak kononnya berlandaskan agama? Mengapa tidak mahu bersapa?

Balik ke kampung tidak bersapa. Berlainan masjid tidak bersapa. Berlainan parti tidak bersapa. Duduk sebumbung tidak bersapa. Sama agama tidak bersapa. Sama bangsa tidak bersapa.

Sapa siapa? Sapa kita.

Sapa kita bersaudara.

Mari bersaudara.

1 comment:

Mohammad Ihab Ismail said...

Salam...

Sedap betul ayat ko dalam entry ni hehe ;)

Ni komen ikhlas peminat karya seni seorang peminat penggiat seni tradisi :D