Wednesday, October 31, 2007

Kelab UMNO vs UKEC

Saya ada juga dengar cerita-cerita AGM UKEC hujung minggu lalu. Ain ada mengajak saya melihat karenah manusia dalam manifesto-manifesto mereka. Namun, ajakan Pojok Musik dan bolasepak lebih kuat dan lebih penting buat masa ini.

Namun, adalah tidak keterlaluan jika saya memberi sedikit komen tentang organisasi yang ada di serata United Kingdom ini. Bukanlah hendak mengadu domba di sini dengan tohmahan tetapi sekadar sekelumit pandangan daripada saya, jiwa yang kerdil ini.

Masalah pertama yang saya ingin ajukan ialah, apakah tujuan sebenarnya sesuatu organisasi seumpama itu ditubuhkan? Sungguhlah ia untuk membantu para pelajar yang jauh di perantauan ini mendapat informasi dan menurut serta aktiviti-aktiviti yang disediakan. Berbuka puasa di Holiday Villa, umpamanya.

Pernah juga saya dibisikkan kisah-kisah kelab yang berunsur politik sebelum dan semasa saya berada di London ini. Ada juga yang telah disenarai-hitam. Dan ada juga yang masih begitu giat menyampaikan agenda dan seruan masing-masing. Namun saya tertanya-tanya, bukankah pihak kerajaan yang bersusah-payah mengfasilitasi bakal-bakal graduan United Kingdom ini untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran? Seingat saya, kami juga pernah ditegaskan berkali-kali sebelum terbang ke negara orang agar jangan terikut-ikut dengan kelab-kelab politik ini?

Persoalannya sekarang, bukankah Kelab UMNO itu juga kelab politik? Sungguh berbeza dengan UKEC yang bertujuan membantu pelajar-pelajar di sini, dan diketuai oleh pelajar-pelajar sendiri supaya dapatlah mereka menguji kepimpinan masing-masing. Dahulu kita ada Hizbi, saya sendiri tidak begitu yakin dengan cara mereka yang agak ekstrem, bukanlah mereka berperang mengebom orang awam yang kononnya fiisabilillah, tapi begitu ekstrem di mana mereka memboikot majlis-majlis ilmu dan sambutan yang menyatu-padukan orang-orang Malaysia di bumi orang putih ini. Mereka juga menyalurkan ide-ide yang sebenarnya bertentangan dengan ajaran agama Islam dengan memulaukan orang-orang BN atau UMNO khususnya. Bukankah Islam mengajar kita hidup bermuafakat dan bukanlah berseteru dan berpuak-puak? Alhamdulillah, setahu saya kelab itu telah pun di-'ban'.

Persoalannya sekarang, Kelab UMNO itu juga kelab politik! Saya diingatkan oleh penceramah-penceramah BTN Ulu Sepri agar tidak mengikuti kelab-kelab politik tetapi lebih menumpukan kepada pelajaran. Ini sangat bertentangan antara keduanya. Bezanya sekali lagi Kelab UMNO dan UKEC adalah di mana UKEC itu merupakan organisasi yang neutral dan ini amat diterima baik oleh saya.

Mengapa?

Bukankah kita sekarang sedar agak kroniknya hubungan sesama orang Malaysia lebih-lebih lagi apabila timbulnya persoalan politik. Masing-masing mempertahankan ideologi politik masing-masing. Ada juga yang sampai tidak bertegur sapa. Dan jika ada pun Kelab UMNO mengadakan aktiviti riadah bagi memupuk semangat kekitaan, pertandingan bolasepak contohnya, mungkin ada yang sukar untuk menyertainya kerana "Kelab UMNO yang anjurkan... nak ajak kita sokong UMNO lah tu...". Ini sangat biasa di kalangan pelajar-pelajar yang sebenarnya bingung dengan keadaan ini. Mereka disarankan jangan berpolitik tapi kini seolah-olah mereka diajak bermain politik. Wujudlah pula kelab UMNO di serata U.K. ini. Untuk apa?

Sebenarnya, kerajaan boleh sahaja membantu dan mewujudkan kelab-kelab pelajar yang neutral. Ini mungkin juga menjadi senjata rahsia memenangi hati pelajar-pelajar. Jelasnya di sini, sambutan kurang menggalakkan bagi merebut jawatan kelab-kelab UMNO seraya U.K. Hal ini kerana, kumpulan sasaran bukanlah kesemua rakyat Malaysia di sini. Tapi cuma rakyat Malaysia yang menyokong UMNO. Perkara ini amat merugikan kerana saya yakin ada sahaja bakal-bakal pemimpin di luar sana yang tidak dicungkil semata-mata kerana kelab itu berunsur politik.

Jika kita lihat UKEC, sekeras-kerasnya mereka menyangkal idea politik disalurkan ke dalam organisasi mereka. Ini terbukti apabila berlakunya sedikit pertikaian di dalam AGM yang lepas sepertimana yang dilaporkan oleh seorang rakan saya. Mereka yang dari UKEC ini juga bebas berdebat dan menyalurkan pandangan tanpa rasa takut dan ini akan terus menerus membantu meningkatkan kredibiliti kelab itu sebagai organisasi yang boleh diterimapakai oleh kesemua rakyat Malaysia. Jika kita lihat, UKEC berjaya melahirkan pemimpin-pemimpin yang bakal menggegarkan persada politik Malaysia meskipun ia sebenarnya tidak sekali pun menyalurkan ideologi-ideologi politik, kerajaan ataupun pembangkang. Mereka juga ada sistem undi dalam memilih pemimpin-pemimpin dan ini sedikit sebanyak memberi keterbukaan kepada pelajar untuk membuat pilihan sendiri. Tidak perlu pun satu calon itu mengajak rakan-rakan bolasepak mereka mengundi untuknya.

Saya pun sebenarnya kurang arif tentang bagaimana UKEC ini mendapat bantuan kewangan tetapi yakin juga saya katakan ia bukanlah dari mana-mana parti politik. Tahniah saya ucapkan kepada kelab ini dan harapan saya, objektifnya tidak akan bersimpang jauh di masa akan datang. Gah saya garapkan di sini, walaupun saya langsung tidak terlibat dengan persatuan ini, saya lebih gembira mengikuti aktiviti-aktiviti yang mereka jalankan dengan senang hati.

Sebagai makluman, saya bukanlah anti-kerajaan. Malah jika diamati pandangan saya ini, ada juga kebenarannya dan saya cadangkan kelab UMNO dibubar serata UK ini.

"No politics for the students! Let us enjoy our lives and study peacefully!"

-Ruud van Nisjerooy, simply can't forgive himself for missing a lot of chances today.

No comments: