Beberapa bulan yang lalu, negara dikejutkan dengan telatah segelintir remaja yang mengadakan demonstrasi jalanan mendesak kerajaan melupuskan hutang PTPTN. Tindakan tersebut telah dipelopori sebuah parti politik yang tidak asing lagi, Parti Keadilan Rakyat atau umumnya, PKR. Para remaja yang mengikuti rusuhan jalanan yang pada pandangan saya, memalukan negara di kaca mata dunia ini tidak terlepas daripada melakukan aksi yang tidak senonoh untuk mendapat perhatian media. Demonstrasi Hapuskan PTPTN ini hanyalah membawa mesej yang negatif kerana hutang apakah yang tidak perlu dibayar?
Rakan sekerja Democratic Action Party (DAP) tidak mengikut serta propaganda licik dan tidak beretika ini atas dasar prinsip dan tahu yang PTPTN ini sebenarnya membantu. Seorang anggota PKR yang diketahui umum membongkar penyalahgunaan dana pinjaman mudah (soft-loan) oleh sebuah syarikat milik suami seorang pemimpin kini bertindak seperti seorang hipokrit apabila mengalu-alukan pinjaman bantuan PTPTN tidak dibayar oleh bekas pelajar yang sudah pun bekerja dengan alasan "Pendidikan Percuma Untuk Rakyat". Ini memberi mesej yang membimbangkan kerana rata-rata pelajar yang mengambil pinjaman ini ramai yang liat untuk membayar walaupun bayaran ansuran sangatlah kecil, bukannya beribu-ribu dan membebankan. Mudah bukan? Syarikat "kroni" yang gagal hutangnya diambil alih kerajaan. Inilah yang dicanang oleh PKR. Tetapi di bawah janji-janji PKR, pelajar yang gagal hutang mereka pun akan diambil alih kerajaan. Kedua-duanya menggunakan wang rakyat. Adil atau hipokrasi?
Saya sendiri berasa adalah tidak adil jika hutang PTPTN dilupuskan begitu sahaja. Dana PTPTN adalah bertujuan membantu pelajar untuk menjadi lebih cemerlang, bukan untuk membeli telefon mudah alih yang baru dan canggih atau membikin motor atau kereta supaya gadis mudah cair. Nak dijadikan cerita, saya mendapat bantuan PTPTN di waktu pelajar yang mendapat ijazah kelas pertama tidak perlu membayar balik pinjaman PTPTN dibekukan. Alhamdulillah, PTPTN telah mempertimbangkan dan meluluskan permohonan saya untuk tidak membayar balik atas dasar keputusan yang cemerlang. Mengapa pula pelajar yang gagal tidak perlu membayar balik pula? Siapakah mereka ini?
Apabila saya menyebut pelajar yang "gagal", saya yakin ini adalah pilihan perkataan yang tepat. Pelajar yang cemerlang dengan kelas pertama tidak perlu membayar balik pinjaman PTPTN. Pelajar yang tidak mendapat kelas pertama tetapi tidak gagal kerana berjaya mendapat pekerjaan dan bayaran ansuran dalam lingkungan RM70 sehingga RM150 sebulan. Jika bayaran ini dilihat membebankan, ini adalah sama ada bekas pelajar ini gagal mendapat pekerjaan, gagal menamatkan pelajaran, malas, tidak mengenang budi, pencuri dana PTPTN dan korup. Itulah persepsi yang diberikan oleh mereka yang berdemo tempoh hari. Ya, sama seperti syarikat kroni yang dipukul canang oleh PKR.
Tamat isu PTPTN, kini datang pula kempen Turunkan Harga Kereta. Saya sebenarnya terkejut kerana yang mendalangi kempen ini salah satunya adalah seorang cerdik pandai, akauntan bertauliah yang bersuara penyet serta dikatakan pernah dibayar RM30,000 sebulan oleh sebuah syarikat gergasi nasional. Apa sahaja yang beliau dibayar kini tidak pula diceritakan olehnya mungkin takut orang merompaknya (atau karier politiknya terjejas atas kerana bayaran yang begitu banyak).
Empat isu telah saya bangkitkan menerusi laman Twitter tetapi oleh kerana bekas akauntan ini telah "block" saya (atas sebab yang tidak dapat dipastikan, selalunya adalah masalah ego dan keangkuhan manusia bergaji besar), terpaksalah saya ajukan permasalahan penting yang harus diambil kira kepada rakan sejawatnya yang juga seorang kawan dari kolej.
Umum diketahui rakyat di Lembah Klang kesesakan lalu lintas adalah ditahap yang kritikal. Kekadang itu lucu kerana tol dibayar tetapi terpaksa juga mengharungi lautan kenderaan pelbagai rupa ada yang seperti kotak tisu pun ada. Jika kempen ini dilaksanakan, kesesakan akan bertambah kerana kereta kini lebih murah dan mampu dimiliki. Ada juga penyokong kempen yang menyatakan saya ini tidak fikir tentang rakyat miskin di luar bandar atau luar Lembah Klang. Betul, harga kereta di Malaysia adalah mahal tetapi terfikirkah anda walaupun mahal, rakyat masih lagi berdegil untuk membeli kereta termasuklah yang berjenama. Mungkin ini adalah kerana pengangkutan awam yang tidak boleh diharap tetapi bukankah jaringan My Rapid Transit (MRT) sedang giat dibangunkan? Bagi soal golongan yang kurang berkemampuan di luar Lembah Klang, sepatutnya disarankan untuk juga mendesak kerajaan untuk menambah-baik pengangkutan awam. Jika kenderaan juga yang mereka mahukan, sepatutnya PKR mencadangkan agar mereka dibantu dari segi kewangan (subsidi), bukannya menurunkan harga kenderaan khususnya kereta import dengan menyahkan tiga cukai duti, eksais dan jualan sekaligus.
Wakil rakyat saya YB Tony Pua akan saya ingat sebagai seorang pemimpin yang secara ikhlas mahukan Lembah Klang bebas daripada kesesakan lalulintas dengan mencadangkan supaya jaringan integrasi pengangkutan bas sejajar dengan kemudahan MRT yang bakal disediakan. Beliau tidak memilih jalan populis tetapi mahu rakyat benar-benar bebas daripada kesesakan jalan raya secara total. Mungkin inilah bezanya orang DAP dan PKR.
Jika diumumkan Turunkan Harga Kereta sebagai suatu polisi kelak, walaupun dengan tempoh implementasi lima tahun, harga kenderaan yang ada sekarang akan terus jatuh mendadak. Nilai kenderaan di jalanan kini akan jatuh merudum rata-ratanya ke tahap setengah harga. Mungkin para penyokong kempen cuma berangan-angan seperti Mat Jenin untuk membeli Toyota Wish, Cardina atau Porsche Cayenne (aneh, ketiga-tiganya idaman masyarakat Melayu Malaysia). Mereka tidak sedar yang nilai kereta mereka yang sedia ada akan jatuh menjunam dan perkara ini bukanlah boleh dipandang enteng. Hutang bank yang ada masih perlu dijelaskan. Kali ini, jangan harap kerajaan PKR akan membayarnya juga seperti hutang PTPTN tetapi setakat ini, janji bulan dan bintang adalah perkara normal kini jadi saya tak akan terkejut lagi! Encik dan Puan Jenin terpaksa menambah lebih banyak wang kerana kenderaan sedia ada yang mahu dijual balik akan susut nilai. Jika masih lagi berdegil mahu "upgrade kepada Wish", fikirlah dua tiga kali.
Bagaimana pula dengan nasib pengusaha kereta terpakai? Saya tahulah mereka ini tidak lah ramai bilangannya jika dibandingkan dengan Mat-mat Jenin. Undi mereka begitu sedikit. Jelas di sini perusahaan mereka akan terjejas sejurus selepas kempen ini menjadi polisi kerajaan. Mereka telah pun mengeluarkan modal yang banyak untuk menjual kereta-kereta ini dan kini akan mendepani kerugian yang besar.
Saya sekeluarga memilih untuk menyokong barangan keluaran Malaysia. Panggillah kami ini nasionalis atau pun patriotik tak bertempat tetapi kami cuba sedaya boleh untuk membeli kereta Proton kebanggaan negara. Saya bias dalam pendirian saya apabila bercakap tentang Proton. Ini adalah benar. Namun, saya sendiri mengkritik kualiti kenderaan nasional ini selepas mengalami sendiri kekurangan yang ada. Tetapi, saya saying Malaysia. Saya tidak mahu Proton berkubur dan kerana inilah saya tidak bersetuju dengan kempen populis Turunkan Harga Kereta yang dimainkan oleh ahli politik. Saya juga hanyalah bersikap realis bila menyatakan jika harga kereta import mendapat diskaun 50%, Proton akan susah untuk bersaing. Bayangkanlah dengan waktu sekarang inipun, ramai rakyat memilih kereta keluaran luar negara, sanggup membayar lebih. Jika kempen ini bertujuan mengurangkan harga kereta keluaran tempatan, saya setuju. Ada pula penyokong kempen ini di Twitter tempoh hari menuduh saya memperlekehkan kebolehan Proton. Dia memberi faktor yang tidak relevan seperti Proton sudah ada pusat pemasangan bertaraf global dan mampu berdaya saing. Realitinya, "protectionism" adalah normal bagi mempertahankan industri tanah air dan ini telah diguna pakai oleh negara-negara pengeluar kenderaan seperti Korea.
Jika tidak orang Malaysia, siapa lagi yang akan sokong Proton dan Perodua? Jeremy Clarkson daripada rancangan "Top Gear"?
Tak tahulah jika penyokong Turunkan Harga Kereta ini tidak patriotik. Tetapi itulah pada pendapat saya. Sahabat saya itu sehingga kini tidak dapat menjawab persoalan-persoalan jujur saya di atas. Dia hanya mampu menjawab Proton sudah lama hancur setelah AFTA 2005 dan bangga menyatakan kerajaan Barisan Nasional juga sedang mempertimbangkan kempen ini. Jawapan-jawapan politik yang tidak meyakinkan.
Jadi, adakah PKR mengajar rakyat untuk menjadi tidak berpatriotik? Adakah mereka juga mengajar kita supaya tidak membayar hutang walhal itulah yang dituntut dari segi agama. Betul, agama menolak amalan riba' tetapi nilai pokoknya wajib dibayar. Di mana letaknya nilai etika dan moral? Raihan undikah yang menjadi matlamat utama tidak mengira yang hak dan batil?
Mohd Azrul Bin Abu Hassan @ Jeg Hui